Ahli YAKEB menerima tajaan ke Umrah . #JasaMuDiKenang

CEKAL di padang, cekal juga dalam kehidupan harian. Begitulah semangat kental bekas penyerang tersohor negara, Syed Ahmad Abu Bakar, 72, apabila sanggup menaiki bas 10.30 malam tadi dari Kangar, Perlis ke Kuala Lumpur kerana mahu menghadiri kursus umrah.

Syed Ahmad iaitu penjaring hatrik menentang Jepun (3-0) pada 23 September 1971 yang melayakkan pasukan negara bertanding di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 ditemani isteri, Samihah Datuk Haji Razali, 71, tiba di Hentian Jalan Duta 5 pagi, seterusnya menaiki teksi ke Masjid Al-Ubudiah Segambut Dalam bagi menghadiri kuliah umrah.

Beliau antara 11 individu kumpulan kedua ditaja mengerjakan umrah yang diinspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan direalisasikan pihak Yayasan Perdana Ummah (YPU) dengan kerjasama Yayasan Mustika Kasih (YMK) dan Pejabat Penasihat Perdana Menteri.

Syed Ahmad yang kini menetap di Pauh, Perlis, berkata, peluang mengerjakan umrah sukar diterjemahkan dengan kata-kata apatah lagi beliau tidak pernah menjejak kaki ke Tanah Suci.

“Dalam usia lanjut begini, dipilih Allah mengerjakan umrah hanya ucapan syukur ke hadrat Ilahi sahaja dapat saya luahkan,” katanya.

Syed Ahmad berterima kasih pada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia kerana mencadangkan namanya ke YPU untuk program umrah itu.

Beliau berkata, sebaik kursus umrah dikendalikan Ustaz Yassir Salleh berakhir, dia dan isteri bergegas ke stesen bas untuk pulang ke Perlis.

Senarai peserta umrah lain terpilih adalah Hisham Ahmad Tajuddin (pelakon), Rashidah Jaafar (pelakon), Amir Ukays (penyanyi), Zolkifly Abd Ghani (pelakon), Mashitah Mohd Isa (pelakon), Sapri Ibrahim (Pengarah Seni), Rameli Manap (atlet angkat berat), Ramliee Ahmad (atlet silat), Norasikin Hasan (wakil media) dan AbdulHadi Jaru (urusetia).

Kumpulan kedua umrah itu bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 8 April dan pulang ke tanah air pada 19 April.

Pelakon Rashidah, 53, mengakui bagaikan bermimpi apabila namanya dipilih ke Tanah Suci.

“Ikutkan saya sibuk berlakon, tetapi mengenangkan tawaran ke Tanah Suci ini lebih istimewa, eloklah saya rehat berlakon sekejap.

“Saya harap sekembali ke tanah air nanti, ada rezeki berganda diberi Allah pada saya,” katanya.

Vokalis kumpulan Ukays, Mohd Azmir Muhammad Yusuf (Amir), 49, berkata dia terkejut dan tidak diduga apabila pihak YPU memaklumkan namanya dipilih ke Makkah.

“Ada beratus penyanyi di tanah air kita, tetapi bila nama saya dipilih inilah rezeki tidak disangka dikurnia Allah pada saya,” katanya.

Manakala Hisham, 71, melahirkan rasa syukur dapat menunaikan umrah di kala namanya kian terpinggir di arena seni.

“Hampir lima tahun saya tidak berlakon, maklum sajalah orang veteran macam saya ini orang tidak peduli lagi, tetapi tiba-tiba nama saya melekat menunai umrah ini satu anugerah cukup bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YPU, Datuk Rizal Mansor menyifatkan rombongan umrah kumpulan kedua ini lebih istimewa kerana tidak terikat pada penggiat seni.

“Jasa atlet sukan seperti Syed Ahmad dan lain-lain tidak harus kita lupakan. Justeru untuk kumpulan kedua umrah ini, kita sertakan sekali atlet pelbagai cabang sukan untuk mereka turut merasai beribadah di Tanah Suci,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply