Azlan Turun Padang Bantu Kempen 1M1H

by admin

Melaka : Bekas pemain skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar sedia turun padang lagi bagi membantu kempen 1Malaysia 1Hope (#1M1H) – “Giving Back To The Nation” yang dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Dia yang bersara pada 2012 kerana kerap dihantui kecederaan mengakui kempen yang diilhamkan Penaung YAKEB, Datin Seri Rosmah Mansor itu adalah satu cara buatnya dan bekas atlet lain untuk terus memberi sumbangan dan berbakti kepada negara.

“Saya dapati program ini amat baik dan unik terutama kepada bekas atlet untuk terus berbakti kepada negara.

“Kami bukan saja boleh berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing tapi juga melakukan kerja amal dalam mendekati serta membantu semula masyarakat yang selama ini memberi sokongan dan mendoakan kejayaan kami,” katanya.

Azlan yang beraksi dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sejak 2000 berkata demikian pada majlis pelancaran kempen #1M1H kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Turut hadir Timbalan Menteri Perlancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah dan bekas wanita besi negara, Datuk Zaiton Othman serta Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf.

Sumber : Harian Metro – 24hb mac 2017


About the Author


admin


You must be logged in to post a comment.