Jamboree Basikal Parit Jawa Dapat Sambutan

MUAR: Seramai 2,150 peserta menyertai Jamboree Basikal Parit Jawa 2017 yang menyaksikan pelumba bakal cabaran laluan berliku membabitkan jarak sejauh 39 kilometer.

Edisi kali kelima itu turut menarik minat peserta luar negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, berkata laluan perlumbaan ditingkatkan dengan 75 peratus daripadanya membabitkan laluan tidak berturap, mendaki dan berpasir.

“Jamboree Basikal Parit Jawa 2017 kali ini mendapat penyertaan memberangsangkan dan ia adalah bilangan maksimum ditetapkan penganjur.

“Bagi penganjuran kali ini, peserta dibahagikan kepada dua kategori iaitu elit dan jamboree. Skala perlumbaan dipertingkatkan dengan semua pelumba perlu melakukan kayuhan di pelbagai laluan yang mencabar kekuatan fizikal dan mental masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas Majlis Pelepasan Peserta Jamboree Basikal Parit Jawa 2017 di Padang Bukit Mor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Noorazam Osman ; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Jamaludin A Hamid dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Malek Noor.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata acara itu membabitkan penduduk setempat terutama dalam penyediaan kemudahan penginapan dan makanan.

Katanya, program sama turut mendapat pengiktirafan apabila dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah Muar.

Sumber : Berita Harian – 11hb Februari 2017

Leave a Reply