MOM Kekal Pendirian Terima Myanmar

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal dengan pendirian untuk tidak menghalang penyertaan Myanmar pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur biarpun menerima desakan segelintir pihak susulan kekejaman rejim junta terhadap etnik Rohingya.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, berkata di bawah piagam Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) jelas menyebut hal politik tidak boleh dicampuradukkan dengan sukan.

“Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar sudah menyatakan pendirian dalam hal ini dan kita kekal dengan pendirian berkenaan. Kita tidak boleh campur adukkan politik dan sukan.

“Kita tidak mahu ada diskriminasi berkenaan hal yang membabitkan sukan disebabkan kemelut politik…kita tidak boleh jadikan sukan sebagai mangsa,” kata Beng Choo ketika dihubungi, hari ini.

BH Sukan hari ini melaporkan Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) mendesak MOM supaya mengusulkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) agar membatalkan penyertaan Myanmar di Sukan SEA 2017.

Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor (No ahli : 331) berkata, langkah itu sebagai menunjukkan tanda solidariti Malaysia di dalam membantah kekejaman berterusan rejim junta Myanmar terhadap etnik Rohingya di negara itu. 

Mengulas lanjut, Beng Choo, berkata MOM tidak akan mengusulkan sebarang cadangan bagi membatalkan penyertaan Myanmar dalam mana-mana mesyuarat termasuk dengan SEAGF namun terpulang jika ia dibangkitkan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 Lumpur yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Jika membabitkan jawatankuasa penganjur, biarlah ia dijawab oleh menteri. MOM kekal dengan pendirian untuk tidak menghalang penyertaan Myanmar,” kata Beng Choo.

Sumber : Berita Harian – Rabu, 7 Disember 2016

Leave a Reply