Nasib Nurul Shakinah Teh Abdullah Terbela.

PETALING JAYA: Pendedahan Astro AWANI terhadap nasib Nurul Shakina Teh Abdullah dalam laporan khas semalam, akhirnya mendapat maklum balas positif apabila Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) hari ini tampil untuk menawarkan bantuan kepada ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu.

Petang tadi, tiga wakil YAKEB hadir ke kediaman beliau di Taman Medan, Petaling Jaya dengan membawa beberapa khabar gembira buat Nurul.

Menurut Pengurus Besar YAKEB Zuhairi Abdul Manaf, sebagai seorang atlet yang tergolong dalam kalangan orang kurang upaya OKU dan pernah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selain pencapaian yang mengagumkan ,Nurul sepatutnya berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya. 

“Kita mengucapkan terima kasih juga kepada pihak Astro AWANI yang memaparkan dan memaklumkan kisah beliau.
“Ini adalah sesuatu yang baik kerana kita tidak nafikan sebilangan atlet ataupun bekas atlet OKU ini tidak mengetahui cara untuk menjadi ahli YAKEB selain tidak mengetahui manfaat yang mampu mereka perolehi selepas menjadi ahli YAKEB,” ujar beliau.

Sebagai permulaan, jelasnya, Nurul telah didaftarkan sebagai ahli YAKEB dan pihak YAKEB telah bermesyuarat petang tadi bersama Institut Sukan Negara untuk menawarkan kursus Sains Sukan tahap 1 kepada beliau bagi membolehkan Nurul mengorak langkah untuk menjadi seorang jurulatih.

Tambah Zuhairi, memandangkan Nurul kini adalah ahli YAKEB maka beliau layak untuk mendapat manfaat perubatan dan bantuan kewangan.

“Buat masa ini kita lihat perlu dibantu dari segi kewangan dan YAKEB memang mempunyai peruntukan bulanan yang akan diberikan kepada beliau bagi tempoh jangka masa pendek ini.

“Kita telah berbincang dan bermesyuarat dengan ISN tadi dan kami telah bersetuju untuk menawarkan kepada beliau kursus Sains Sukan pada 2 November ini. Ia adalah sebahagian usaha untuk mengembalikan nama beliau dalam sukan yang pernah beliau ceburi,” kata beliau.

Sementara itu, Nurul tidak menyangka pendedahan Astro AWANI semalam telah memberikan impak positif dan bersyukur dengan bantuan dan tawaran yang diterimanya.

Ia setidak-tidaknya memberikan sinar baharu kepada ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.

“Saya nak ucapkan berbanyak terima kasih sangat kepada Astro AWANI yang sanggup mencari saya dan menyingkap kisah saya tentang siapa saya dahulu.

“Sebelum ini pun ada pihak datang tanya tentang latar belakang saya tapi tak macam Awani yang sanggup bersusah payah sehingga YAKEB datang ke rumah saya hari ini. Insya-Allah saya sambut baik tawaran mereka ini,” ujarnya.

Nurul berharap agar ramai lagi atlet OKU sepertinya yang masih lagi tidak mengetahui tentang fungsi YAKEB dan belum mendaftar dengannya di luar sana agar segera mendaftar.

 

Sumber : Astro Awani – 23 Okt 2017

Leave a Reply