SBJK Cipta Sejarah Tanding MSSWP

Kuala Lumpur : Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), sekolah istimewa buat anak gelandangan bakal melakar sejarah apabila buat pertama kali akan bertanding dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP).

Ketua jurulatih SBJK, Abdul Rahman Koyakutty yang juga bekas atlet negara berkata, sekolah itu serius dalam usaha mengetengahkan bakat baharu dan percaya penyertaan di MSSWP satu permulaan untuk mengorak langkah lebih jauh.

“Mereka ini mempunyai keinginan dan kesungguhan tinggi. Jadi saya harap MSSWP menjadi medan buat mereka untuk menunjukkan apa yang boleh mereka lakukan.

“Kita tidak mempunyai fasiliti seperti sekolah berasaskan sukan tetapi berterima kasih kepada YAKEB (Yayasan Kebaikan Atlet Kebangsaan) yang membantu mendapat sokongan daripada pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan untuk menggunakan kemudahan di  Kompleks Sukan Kampung Pandan (KSKP).

“Kini kami bekerja keras mempersiapakn mereka dan sudah memulakan latihan intensif sejak 17 Januari lalu di KSKP, kategori bawah 18, bawah 15 dan bawah 12 tahun.

“Mereka akan mengambil bahagian dalam 11 acara padang dan balapan selain pertandingan memanah,” katanya yang berkampung di KSKP bersama anak buahnya selama empat hari bermula Khamis ini menjelang kejohanan MSSWP yang akan berlangsung dari 20 hingga 23 Februari ini.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor mengakui gembira melihat perkembangan ditunjukkan pelajar SBJK yang kini mendapat ruang dan peluang wajar untuk menonjolkan bakat.

Katanya, YAKEB bekerjasama erat dengan SBJK di dalam menyediakan program sukan malah membekalkan tenaga kejurulatihan daripada kalangan bekas atlet sebagai satu daripada inisiatif mendekati masyarakat yang diilhamkan memalui kempen 1 Malaysia 1 Hope (#1M1H)

Sumber : Berita Harian – 13hb Februari 2017

Leave a Reply