SBJK Cipta Sejarah

Kuala Lumpur: Sejarah bakal tercipta buat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), sekolah istimewa buat anak-anak gelandangan apabila buat kali pertama akan bertanding pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) dalam acara olahraga dan memanah.

Ketua jurulatih SBJK, Abdul Rahman Koyakutty yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan berkata, sekolah itu serius dalam usaha mengetengahkan bakat baru dan percaya penyertaan di MSSWP adalah satu permulaan yang baik untuk mengorak langkah lebih jauh.

“Mereka mempunyai keinginan dan kesungguhan jadi saya harap ini menjadi medan buat mereka menunjukkan kepada semua apa yang boleh mereka lakukan. Gunakan peluang yang diperoleh ini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman.

“Kami tidak mempunyai kemudahan seperti sekolah berasaskan sukan tapi berterima kasih kepada YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) yang membantu mendapatkan sokongan daripada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan untuk menggunakan kemudahan di Kompleks Sukan Kampung Pandan.

“Kini kami sedang bekerja keras mempersiapkan mereka dan sudah memulakan latihan intensif sejak 17 Januari lalu di Kampung Pandan membabitkan 40 pelajar bagi semua kategori umur iaitu B-18, B-15 dan B-12 tahun.

“Mereka akan mengambil bahagian dalam 11 acara padang dan balapan,” katanya menjelang kejohanan olahraga dari 20 hingga 23 Februari ini.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Malek Noor gembira melihat perkembangan ditunjukkan pelajar SBJK yang kini mendapat ruang dan peluang wajar untuk menonjolkan bakat mereka.

Menurutnya, YAKEB bekerjasama erat dengan SBJK dalam menyediakan program sukan malah membekalkan tenaga kejurulatihan dari kalangan bekas atlet sebagai satu daripada inisiatif mendekati masyarakat yang diilhamkan melalui kempen 1Malaysia 1Hope (#1M1H).

“Saya yakin SBJK mempunyai ramai pelajar berbakat besar, tidak mustahil jika diberi pendedahan betul mereka boleh pergi jauh, malah mewakili negara satu hari nanti. Perlu diingat, tidak semua atlet negara datangnya dari sekolah berasaskan sukan, atau dicungkil bakat mereka dari program sukan,” ujarnya.

Sumber : Harian Metro – 13hb Februari 2017

Leave a Reply