‘Tak perlu gusar’

Klang: Ketua kontinjen Sukan SEA Datuk Marina Chin (No Ahli : 303) yakin isu menyelubungi masa depan Terengganu Cycling Team (TSG) tidak akan menjejaskan persiapan untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

Pelumba TSG diberikan ‘amanah’ untuk memikul cabaran negara pada Ogos nanti bagi acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Bagaimanapun masa depan pasukan berstatus benua itu kabur apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman membayangkan tindakan untuk tidak lagi mendokong mereka susulan isu berkaitan perubahan laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017.

Barisan pelumba TSG yang diketuai pemenang dua emas Sukan SEA 2015 Mohd Harrif Saleh kini menjalani latihan di Melbourne untuk menghadapi LTdL dan Sukan SEA.

“Sepatutnya isu ini tidak mengganggu (persiapan) mereka. Saya pernah mengadakan pertemuan dengan mereka di Terengganu sebelum ini.

“Saya selalu mengingatkan atlet supaya tidak memikirkan apa saja perkara di luar kawalan mereka. Biarkan pihak bertanggungjawab selesaikan,” katanya.

Skuad berbasikal antara sukan diharapkan mampu tampil cemerlang bagi membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan.

“Sebagai atlet, tugas mereka adalah fokus terhadap latihan dan meraih pencapaian baik,” tambahnya.

Sumber : Harian Metro – 27hb Januari 2017

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.