Wira-wira yang kian dilupakan

HARI ini rata-rata peminat bola sepak tempatan memuji penampilan Adam Nor Azlin, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli, S. Thanabalan, Azam Azih dan Safawi Rasid serta rakan-rakan mereka dalam skuad bawah 23 tahun negara yang mara sejauh suku akhir Kejohanan Asia AFC Bawah 23 tahun di China.

Syabas penulis ucapkan, meskipun mereka belum membuktikan apa-apa. Juga tiada gelaran antarabangsa yang boleh dibanggakan.

Terimalah pujian dengan rendah diri dan pada masa akan datang terima juga kritikan mahupun kecaman dengan lapang dada.

Kenapa penulis berkata begini?

Resmi kehidupan, nama anda harum di saat prestasi memuncak, dan harus ingat nama anda akan luput daripada ingatan masyarakat umum satu hari nanti.

Begitulah kitaran kehidupan yang melanda bekas atlet.

Mereka harus sedar sejurus mengumumkan persaraan dan kembali ke dalam ruang lingkup kehidupan yang normal, mereka harus hidup tanpa sekelumit sanjungan.

Dalam konteks ini, mujur Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). Yakeb tekun menyantuni atlet yang satu ketika mengharumkan nama negara tetapi kini dipanjat usia.

Yang terbaharu kes V. Krishnasamy, bekas pemain tengah Perak dan anggota skuad bola sepak negara ke Sukan Olimpik di Munich 1972.

Bertindak pantas susulan status facebook bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, yang mendakwa Krishnasamy ditinggalkan di rumah orang tua, Yakeb membuat lawatan dan siasatan mendapati bekas pemain itu sebenarnya menjalani rawatan alternatif di sebuat pusat rawatan. 

Yakeb ternyata satu-satunya badan yang membalas budi dan jasa atlet lama di saat persatuan-persatuan sukan kebangsaan dihimpit waktu terbatas serta tiada tempat bernostalgia. 

Krishnasamy yang terkenal dengan rembatan deras bersama pasukan Penjara dan Perak serta Pulau Pinang, senasib rakan-rakan seangkatannya.

Antaranya Syed Ahmad Abu Bakar – wira negara sepanjang kempen pra-Olimpik 1971 di Seoul dengan mencetak lima gol. 

Bintang kelahiran Pontian, Johor ini adalah penyerang berwibawa yang menyarung jersi negara dari 1966 hingga 1974 – membantu skuad kebangsaan menjulang gelaran Pestabola Merdeka 1966, 1968 dan 1974, serta meledakkan lima gol dalam laluan menewaskan Jepun dan Korea Selatan di Seoul pada pra-Olimpik 1971.

Syed Ahmad adalah satu fenomena pada awal 70-an. Dengan bakat semula jadi sebagai penyerang yang tidak bergantung kepada kekuatan fizikal, ditambah dengan wajah yang tampan, Syed Ahmad mempunyai pengikut ramai, khususnya dalam kalangan wanita.

Tersepit di antara dua era – zaman Abdul Ghani Minhat selaku Raja Bola lewat 50-an hingga 60-an dan pada waktu Mokhtar Dahari bergelar Supermokh pada 70-an – Syed Ahmad membentuk jentera serangan yang membantu skuad negara mengutip gangsa di Sukan Asia Teheran 1974, serta berbangga dengan catatan gol dalam final Piala Malaysia pada 1968 dan 1969 bersama Pulau Pinang dan Perak pada 1974 tanpa mengecap kejayaan menjulang piala itu. 

Di saat Syed Ahmad, Krishnasamy dan rakan-rakan yang lain seperti Datuk Namat Abdullah dan adiknya Shaharuddin, masih hidup, tiada pembesar negara atau pakar-pakar motivasi dan mana-mana pengurusan pasukan mengenang nama mereka atau membangkitkan nostalgia terhadap kejayaan mereka. Sebaliknya nama yang sentiasa disebut sudah bergelar Allahyarham.

Begitulah nasib seorang atlet dan  pemain bola sepak yang hebat di zaman rakaman atau siaran langsung televisyen disiarkan dalam hitam putih.

Kelincahan dan tindakan penyudah sama ada menerusi tandukan tajam, sepakan tonjol mahupun tipu daya tidak dipertontonkan dalam youtube. Apakan daya tiada rakaman untuk dialihkan ke youtube.

Kesimpulannya, bagi mereka yang disanjung hari ini atau semalam, bersyukurlah. Nikmatilah momen-momen indah ketika nama anda meniti di bibir peminat.

Bergembiralah dengan status dan glamor anda dalam media sosial.

Stataus anda tidak akan bertahan lama. Melainkan anda berjawatan tetap atau pesara kerajaan atau diberi rezeki menjadi personaliti televisyen atau kembali menyumbang kepada sukan itu sebagai jurulatih, pentadbir atau pengurus, anda akan berada di bawah radar.

Selepas but anda digantung di dinding, nama anda akan tenggelam ditelan zaman. Hanya keratan akhbar atau poster lama atau status-status dalam media sosial disimpan sebagai kenangan.

Nama anda akan terkubur lama sebelum jasad anda disemadikan. Tinggallah Yakeb dan kelompok kecil manusia yang mengenang anda.

 

Sumber : Blog Stadium Astro, 22 Januari 2018

Leave a Reply