Wujudkan Segera Projek Piala Thomas

Rashid Sidek (No Ahli : 226) berharap kepimpinan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan dipilih menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu tahun ini dapat mewujudkan satu projek khas bagi merampas trofi Piala Thomas pada 2020.

Sambil menyifatkan dua calon berpotensi untuk jawatan presiden – Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan Datuk Seri Norza Zakaria – mempunyai kelebihan tersendiri, bekas pemain negara itu berkata, Malaysia sememangnya dahagakan kejuaran Piala Thomas sejak kali terakhir memenaginya pada 1992.

Katanya, kejayaan skuad badminton negara muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur adalah disebabkan adanya projek khas cetusan idea bekas presiden BAM, tan Sri Elyas Omar yang memfokuskan bagi menjuarai kejohanan yang disifatkan sebagai Piala Dunia dalan suakn badminton.

“Sebaik saja dilantik sebagai presiden pada 1985, Tan Sri Elyas terus mewujudkan projek berkenaan. Hasilnya cukup positif yang menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir pada 1986, final  1988 dan final 1990 sebelum muncul juara pada 1992.

“Pemain yang dipilih adalah pemain muda….saya, Cheah Soon Kit, Soo Beng Kiang, Kwan Yoke Meng dan Rahman Sidek termasuk beberapa pemain senior. Kami juga yang membarisi skuad negara ketika Malaysia muncul juara pada edisi 1992.

“Ketika itu, memang sasaran utama Tan Sri Elyas adalah juara Piala Thomas. Pelbagai program dirancang bagi memastikan kejayaan projek ini. Jurulatih pula silih berganti, siapa yang gagal pasti akan ditukar.

“Jadi, saya berharap sangat kepimpinan baharu BAM nanti boleh fikirkan perkara ini secara serius. Kita bangunkan pemain muda yang ada…sampai bila lagi kita nak tunggu.

“Memenangi Piala Thomas sama seperti kita mengembalikan maruah Malaysia,” kata Rashid yang turut mahu projek itu dijadikan sebagai persiapan menghadapi olimpik Tokyo 2020.

Malaysia hampir menamatkan kejuaran Piala Thomas pada 2014 apabila mara ke final sebelum tewas 2-3 di tangan Jepun di New Delhi, India.

Tahun lalu, skuan negara sekadar mara sehingga ke separuh akhir apabila tewas di tangan Denmark yang kemudiannya muncul juara buat kali pertama menewaskan Indonesia.

Bekas jurulatih kebangsaan ini juga berharap presiden baharu nanti dapat menjalin hubungan rapat dengan barisan pemain dan jurulatih.

“Walaupun pegang jawatan presiden, kena ambil tahu mengenai kebajikan, kehendak serta masalah pemain dan jurulatih. Perlu rajin turun padang untuk mengetahui sendiri perkembangan mereka….daripada situ baru wujudnya hubungan baik antara pengurusan dan pemain serta jurulatih,” katanya.

Leave a Reply