YAKEB bantu Krishnasamy

GEORGETOWN: Nasib malang menimpa bekas pemain bola sepak Olimpik negara, V Krishnasamy yang mengidap kencing manis sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang tampil menghulurkan bantuan, semalam.

Krishnasamy, 69, disahkan menghidap kencing manis sejak lebih setahun lalu menyebabkan ibu jari kakinya terpaksa dipotong.

Menurut beliau, pada mulanya tapak kakinya mengalami kecederaan dan selepas pemeriksaan dilakukan, dia disahkan mengalami penyakit kencing manis dan terus menjalani rawatan susulan di Batu Maung sejak tiga bulan lalu.

“Saya cukup terharu dan sayu apabila menerima kehadiran rakan-rakan atlet yang sudi tampil membantu sehinggakan tidak terungkap kata-kata.

“Perasaan syukur hanya tuhan saja yang tahu dan amat berterima kasih di atas segala usaha dan bantuan diberikan,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf dan bekas pemain bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh.

Sementara itu, Zuhairi berkata, YAKEB menerima maklumat mengenai keadaan menimpa bekas atlet sukan Olimpik 1972 di Jerman itu sebelum melakukan lawatan.

Katanya, pihaknya menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan dan menjelaskan dakwaan mengenai Krisnasamy dilaporkan ditinggalkan di rumah orang tua yang menjadi tular sebelum ini adalah tidak benar.

“Dakwaan itu cukup menyedihkan kerana dia dijaga oleh anaknya sendiri dengan baik sekali sejak lapan tahun lalu dan tindakan menyebar berita yang tidak benar itu amat tidak wajar.

“Hari ini YAKEB menghulurkan sumbangan awal RM500 dan beberapa bantuan susulan sedang dilakukan termasuk layak menerima bantuan RM2,500 sebagai pesakit luar dan kos perubatan bernilai RM20,000,” katanya.

 

Sumber Berita Harian 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.