KUALA LUMPUR: Seramai 27 peserta terdiri daripada bekas atlet menyertai Kursus Kemahiran Pengendalian Dron di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di sini, yang dianjurkan dengan kerjasama Asia Drone & IT Technologies selama dua hari, bermula semalam.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata antara tujuan utama penganjuran program berkenaan adalah bagi mendedahkan bekas atlet negara terhadap Revolusi Industri (IR 4.0) sebenar.

"Sekarang ini kita ke arah IR 4.0 dan kita mahu bekas atlet juga mengetahui apa itu sebenarnya IR 4.0. Peserta akan diberikan sijil apabila tamat kursus. Ini adalah kursus Tahap 1 yang mana selepas in kita akan adakan pula untuk Tahap 2 dan 3.

"Kita bukan sahaja mahu bekas atlet mengetahui mengenai asas pengendalian dron. Malah selepas ini mereka akan dikhususkan kepada bidang tertentu seperti fotografi, perindustrian, logistik dan sebagainya agar ia boleh diterapkan dalam kerjaya mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang peserta kursus yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Shahril Arsat, berkata program itu memberikan manfaat yang besar buat dirinya untuk sekurang-kurangya mengetahui asas bagi mengendalikan dron.

"Pada mulanya bila dipanggil untuk mengikuti kursus ini, saya tidak pasti mahu pergi atau tidak. Namun, selepas difikirkan semula, ia adalah satu bidang yang menjadi keperluan dalam apa-apa acara pun.

"Sekarang ini dalam penggunaan teknologi pun kita memerlukan dron untuk mengambil gambar atau video dalam apa jua situasi termasuk ketika sesi latihan atau perlawanan. Jadi, saya fikir adalah elok untuk belajar untuk sekurang-kurangnya tahu asas bagi mengendalikan dron," katanya.

 

Sumber Daripada : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Dec 22, 2020

Skip to toolbar