KUALA LUMPUR: Seramai 50 orang bekas atlet negara menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP menerusi program Bakul Rezeki Khaira PPZ, hari ini.

Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun, berkata bantuan yang diberikan itu adalah tanggungjawab sosial korporat agensi berkenaan dan dilaksanakan menerusi kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

"Apa yang kami buat dengan YAKEB ini adalah program CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang mana kami turun padang bagi membantu individu terkesan akibat pandemik COVID-19. Setiap seorang menerima bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM100," katanya ketika ditemui selepas majlis sumbangan ringkas di pejabat YAKEB.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata PPZ memperuntukkan dana sebanyak RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan pihaknya.

"Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk iaitu bantuan tunai - Khaira PPZ dan Khaira PPZ Prihatin. Bantuan barangan keperluan asa - Bakul Rezeki Khaira PPZ.

"Bantuan ini diagihkan kepada 161 orang bekas atlet negara yang memerlukan. Bantuan tunai-Khaira PPZ dan Khaira Prihatin PPZ sudah pun disalurkan ke akaun bank masing-masing pada Disember lalu," katanya.

Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, hanya tiga bekas atlet negara hadir pada majlis sumbangan hari ini iaitu Darus Abdullah (angkat berat), Ahmad Amil Husin (boling para) dan Rosidah Zakaria (bola sepak wanita) manakala selebihnya akan dihantar ke rumah masing-masing.

 

Sumber Daripada : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Feb 17, 2021