KUALA LUMPUR: "Ini peluang kehidupan kedua yang Allah berikan kepada saya. Terima kasih Allah."

Itu yang terpacul daripada mulut legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din yang kini boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), 14 Jun lalu.

Pembedahan diketuai perunding pakar bedah kardiotorasik, Dr Paneer Selvam itu berlangsung dengan jayanya, menyaksikan Rehan kini mampu 'tersenyum lebar' berbanding hari pertama ke IJN, 10 Jun lalu apabila tidak dapat menahan sebak.

"Sebenarnya, sekarang pun saya masih terharu tetapi saya cuba hilangkan rasa itu. Sejurus pembedahan, rasa seperti peluang kehidupan kedua bagi saya. Itu saja yang saya rasa. Terima kasih Allah," katanya.

Perejam terbilang itu berkata demikian ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Yayasan IJN, Datin Seri Zuraida Raja Mansur dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

"Saya rasa seperti satu keajaiban, doktor pun memberitahu pemulihan saya berlangsung dengan cepat. Mungkin semangat saya yang membuatkan saya ingin kembali hidup seperti normal," kata Rehan yang boleh kembali ke rumahnya di Teluk Intan, Perak, esok.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991 itu mengetahui masalah jantung dihadapinya pada 2017 dan mula mendapatkan rawatan di IJN pada 10 Jun lalu selepas menerima bantuan daripada Yayasan IJN yang menanggung kos pembedahan sebanyak RM55,000 dan YAKEB.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan IJN, YAKEB dan Dr Paneer yang mengetuai pembedahan saya. Saya rasa terhutang budi kepada mereka. Sebelum membuat pembedahan, memang kehidupan saya (agak sukar), tidak boleh bernafas seperti biasa.

"Selepas pembedahan, alhamdulillah, saya juga dapat membuat fisioterapi dengan baik. Saya berterima kasih kepada peminat yang turut mendoakan saya," kata Rehan yang kini berusia 53 tahun.

Sementara itu, Zuraida berharap, kes dihadapi Rehan ini dapat memberi semangat buat pesakit lain untuk kembali menjalani kehidupan normal.

"Dalam tempoh dua minggu lebih, dia sudah melalui pembedahan, prosedur pembedahan dan yang lain. Dalam dua minggu juga, dia sudah boleh berjalan dan kami yakin Rehan boleh memberi semangat kepada pesakit lain. Mereka ini (atlet) boleh memberi semangat kepada pesakit lain," katanya.

Dalam pada itu, Noorul berkata, pihaknya akan memantau perkembangan kesihatan Rehan dari semasa ke semasa.

"Seperti atlet yang lain, warga kerja kami akan memantau. Kami akan selalu berkomunikasi dengan beliau dan untuk rawatan susulan juga kami akan berikan bantuan," kata Noorul.

Sumber dari : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jun 30, 2020

Skip to toolbar