KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengenalpasti 36 program yang boleh dimanfaatkan oleh golongan atlet dan belia di negara ini dalam menjana pendapatan seharian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha membimbing golongan ini menyertai bidang seperti pertanian moden.

"Sebenarnya saya baru mengadakan perbincangan bersama menteri (KBS), Datuk Seri Reezal (Merican Naina Merican) dan juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Tujuannya adalah untuk membawa belia dan atlet yang tidak mempunyai pekerjaan dan belia yang berdaftar dengan KBS (menyertai keusahawanan).

"Kami nak wujudkan program dan perbincangan bersama KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) juga sudah berlangsung dan jawatankuasa teknikal akan bermesyuarat lagi untuk menyenarakan program yang bakal dilaksanakan.

"Selepas itu, pada penghujung Jun, kami akan bentangkan kertas kerja kepada kabinet untuk memohon kelulusan daripada kabinet kerana ada kemungkinan memerlukan sedikit sumber kewangan daripada pihak kerajaan bagi menyokong program ini.

"Setiap tahun kira-kira 300,000 graduan dihasilkan universiti dan daripada itu ada yang sudah bekerja, ada yang ingin menyambung pelajaran dan ada yang tidak ada perancangan peribadi. Jadi yang inilah saya ingin bawa mereka dalam bidang produksi makanan kerana kita masih banyak mengimport makanan.

"Jadi banyak perkara yang boleh buat... yang muda, atlet boleh buat seperti tanam sayur dibelakang rumah. Malah tempat juga bukan satu masalah besar dan sistem (penanaman) juga sudah ada," katanya selepas menghadiri majlis sumbangan wang tunai sebanyak RM12,000 oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al Barakah, TV3 dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Seramai 24 bekas atlet kebangsaan yang terdiri daripada golongan B40, kurang berkemampuan serta kurang upaya menerima bantuan wang tunai RM500 setiap seorang sekali gus meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri kali ini.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Wan Junaidi berkata: "Sebanyak 36 program sudah dikenalpastti dan (buat masa ini) hanya menghalusi dan melihat keperluan sumber kewangan tetapi saya lihat, kewangan bukanlah satu masalah besar kerana kita ada TEKUN yang (pembiayaannya) boleh sampai RM300,000," katanya.

 

Sumber dari : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on May 21, 2020

GIVE A REPLY