KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin mengharapkan inisiatif ‘Visit & Treat’ oleh Skuad Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Prihatin dapat terus dipergiatkan untuk membantu lebih ramai bekas atlet negara.

Mohd Bakri berkata, aktiviti terbabit penting untuk mendalami denyut nadi bekas atlet terutamanya ketika situasi semasa COVID-19 yang sudah pasti menyebabkan mereka terhimpit dengan pelbagai masalah yang memberi kesukaran kepada mereka.

“Saya menghargai kewujudan Skuad YAKEB Prihatin yang begitu aktif dalam melaksanakan aktiviti ‘Treat & Visit’ seperti ini.

“Bekas atlet negara yang diziarahi bukan sahaja dapat merasakan kebajikan mereka diambil perhatian serius, malah hubungan yang lebih akrab mampu dijalinkan,” katanya selepas menziarahi bekas atlet tinju, Yaakob Md Saman yang menjalani pembedahan apendiks dan mengalami masalah jantung.

Kunjungan yang berlangsung di Langkawi itu turut dihadiri Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Yaakob yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA 1985 mengharapkan YAKEB dapat terus menyumbang bakti kepada bekas atlet yang suatu ketika dahulu pernah berjasa kepada negara.

“Saya terharu di atas kesudian pihak YAKEB yang mengambil inisiatif datang menziarahi saya selain memberi sumbangan tunai.

“Saya harap semoga YAKEB dapat terus menyumbang bakti kepada bekas atlet yang suatu ketika dahulu telah berjasa kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Noorul Ariffin berkata inisiatif terbabit akan diteruskan dengan mereka merancang untuk ke selatan tanah air selepas mengambil maklum mengenai keadaan bekas atlet di lokasi terbabit.

“Kita sudah mendapat maklumat untuk menziarah bekas atlet di Melaka dan di Johor. Kita akan menziarah dan mendapatkan maklumat yang tepat untuk menyalurkan bantuan yang bersesuaian,” katanya.

 

Sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By / on Nov 21, 2020