KUALA LUMPUR: Kursus Kemahiran dan Keusahawan anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berlangsung sejak Isnin lalu melabuhkan tirainya hari ini dengan 60 peserta yang mengikutinya diharap dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari.
Inisiatif yang diusahakan YAKEB bersama Yayasan Hasanah itu adalah program perintis dalam usaha membantu bekas atlet yang terkesan susulan pandemik COVID-19 untuk meningkatkan kualiti isi rumah dan pendapatan mereka.
Pada majlis graduasi hari ini, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, peserta diberikan sijil daripada Kolej Universiti Genovasi selain menerima modal permulaan perniagaan berbentuk peralatan berdasarkan kursus disertai, bakeri, masakan dan servis pendingin hawa.
“Ini adalah program perintis yang disertai 60 bekas atlet. Kejayaan mereka ini akan menyumbang kepada (program) akan datang. Saya harap mereka berjaya, supaya 300 (bekas atlet) di luar sana dapat kami berikan kursus kemahiran jika kami boleh menerima dana seterusnya daripada Yayasan Hasanah.
“Kursus ini percuma, namun mereka (bekas atlet) perlu berada dalam golongan B40 dan peralatan (perniagaan) juga diberikan secara percuma.
“Berdasarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) Yayasan Hasanah, sebaik tamat kursus, kami perlu sediakan barangan supaya mereka boleh terus menjalankan perniagaan dan dengan barangan ini, mereka boleh melakukan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Sekiranya buat kursus hanya daripada sudut teori, saya rasa ia tak akan memberi satu impak tinggi, kita berikan mereka barangan supaya boleh digunakan untuk berniaga secara serta-merta,” kata Noorul.
Sementara itu, Ketua Pendidikan/Biasiswa Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Muthalib berkata, pihak yayasan tidak keberatan meneruskan program seumpamanya bersama YAKEB pada masa akan datang.
“Selain geran khas Yayasan Hasanah, yayasan juga mengeluarkan geran sendiri setiap tahun. Jadi, ia bergantung kepada kejayaan kursus itu.
“Kalau peserta ini berjaya dalam masa tiga hingga enam bulan nanti dan ada permohonan daripada YAKEB, Insya-Allah, kita boleh membantu atlet lain,” kata Nur Anuar.
Sumber daripada : Berita Harian Online