KLANG: Bekas atlet paralimpik memanah negara, Mohd Izhar Abdul @ Saidun berhasrat untuk memiliki kediaman sendiri dan berharap ada pihak yang dapat sudi membantu merealisasikan impiannya itu.

Ketika ini, beliau yang sentiasa berfikiran positif dan cekal menghadapi cabaran hidup susulan kehilangan kedua-dua kaki, menyewa sebuah rumah Kampung Johan Setia di sini, dengan kadar RM800 sebulan.

“Itu hasrat saya,” kata Izhar yang pernah menyertai temasya Sukan Paralimpik di Australia 2000 dan Athens 2004 ketika ditemui dalam satu program lawatan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Belia dan Sukan, Datin Seri Ismalina Ismail merangkap Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Selangor.

“Saya tak cukup syarat (memohon kediaman sendiri) dan tak ada jaminan daripada bank.Tak tak ada akaun, jadi tak boleh membeli rumah. Namun saya boleh membayar (ansuran pinjaman) sekiranya ada yang boleh memudahkan urusan pembelian rumah.

“Saya sudah menyewa di sini selama 30 tahun. Sekarang ini, sewa RM800 sebulan tapi saya masih boleh membayar, namun di masa depan kita tak tahu lagi bagaimana (kadar sewa), mungkin daripada situ saya sedikt rugi (pembayaran sewa). Sekiranya ada pihak yang boleh memudahkan (urusan pembelian rumah), saya nak beli.”

Buat masa ini, separuh daripada pembayaran sewa berkenaan ditanggung Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan bakinya dibayar Izhar yang ketika ini mencari sumber pendapatan menerusi pembuatan dan baikpulih kerusi roda.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, Izhar akan disenaraikan sebagai penerima skim Bantuan Sara Hidup YAKEB dalam usaha meringankan beban ahlinya itu.

“Kita ada bantuan kewangan iaitu RM300 selama enam bulan,” katanya mengulas mengenai program bantuan yang disalurkan YAKEB kepada bekas atlet terutama ketika pandemik COVID-19 ini.

“Selain itu, kita juga memberikan kursus keusahawanan kepada mereka (ahli) untuk menjalankan perniagaan dan menambah pendapatan mereka. Dalam pertengahan bulan ini, kita akan adakan kursus kecantikan di mana (program ini) kita menerima pembiayaan daripada swasta dan Yayasan Hasanah.

“Setakat ini (skim Bantuan Sara Hidup), kita ada (kira-kira) 10 orang (seluruh negara) yang diberikan RM300 selama enam bulan dan kita juga akan berikan bantuan kepada Izhar untuk dapatkan bantuan seperti ini.”

Justeru, Noorul mengharapkan ahli YAKEB yang jumlahnya kira-kira 3,000 dapat menghubungi pihak yayasan sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Biasanya begini, kalau anak itu menangis baru kita berikan susu. Kalau tak menangis, kita tak berikan susu, bimbang sekiranya muntah nanti. Jadi mereka kena datang kepada kita. Kita ada hampir 3,000 bekas atlet.

“Jadi, mereka perlu datang dan kita akan beri keprihatinan kepada mereka. Kita tak pernah menolak permohonan mereka. Kalau kita tak dapat bantu, kita akan gunakan pihak ketiga atau pun swasta untuk membantu mereka,” katanya.

 

Sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By / on Dec 04, 2020