KUALA LUMPUR: Bekas atlet yang terpilih menerima inisiatif Program Home Make Over@Ceria Atlet Selangor yang dijalankan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bersama kerajaan negeri Selangor berterima kasih atas bantuan diberikan.

Antara atlet yang terpilih menerima inisiatif itu adalah bekas pemain hoki, Noraini Mohd Nor dan atlet angkat berat para di Para ASEAN 1985, Ahmad Amil dengan sumbangan diberikan mengikut keperluan masing-masing.

Kedua-duanya bersyukur dan berterima kasih kepada YAKEB, Exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Khairuddin Othman dan kerajaan negeri Selangor.

"Saya mendapat bantuan mengecat semula rumah arwah ibu saya di mana saya tinggal sekarang.

"Sekarang keadaan rumah ini lebih cantik dan kemas. Saya sangat terharu dan berharap program ini dapat diteruskan bagi membantu bekas atlet," kata Noraini yang menetap di Gombak.

Program ini mula dilaksanakan pada 5 September lalu dengan kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM195,350 untuk membantu meringankan beban atlet Selangor termasuk atlet kelainan upaya dengan setiap bantuan itu berdasarkan keperluan penerima.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, bekas atlet terutama golongan B40 perlu diberikan perhatian memandangkan kedudukan kewangan mereka turut terjejas dalam tempoh sukar berdepan COVID-19 ketika ini.

"Program ini banyak membantu bekas atlet yang kurang berkemampuan dengan membaiki rumah dan menggantikan peralatan seperti peti ais, kipas, lampu rumah yang rosak serta lain-lain barangan asas.

"Ada yang menganggur dan tidak mampu membaiki atap yang bocor. Saya rasa tempat tinggal mereka mesti dalam keadaan selesa supaya anak-anak mereka boleh belajar dan rasa selamat.

"Sungguhpun YAKEB sendiri tidak mampu memberi bantuan dan kemudahan ini namun dengan adanya saluran kewangan daripada kerajaan negeri Selangor, maka program ini menjadi kenyataan.

"Saya harap kerajaan negeri lain turut dapat membantu bekas atlet di negeri masing-masing," kata Noorul.

 

Sumber Daripada : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jan 15, 2021

Skip to toolbar