KUALA LUMPUR: Usaha Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dalam membantu bekas atlet semakin mendapat perhatian syarikat korporat dan swasta sekali gus memudahkan yayasan itu menjalinkan kerjasama.

"Media banyak membantu kita," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

"Dari situ, mereka (syarikat korporat dan swasta yang ingin membantu) tahu, apakah agenda YAKEB dan peranan kita kepada bekas atlet yang dulunya pernah membawa kegemilangan Malaysia di pentas dunia.

"Kini mereka (bekas atlet), masih ada yang menganggur dan ada yang sakit selain ada yang tinggal di surau atau masjid kerana tidak mempunyai tempat tinggal. Jadi, ramai penaja di luar sana terutamanya swasta membuka mata untuk membantu kami termasuk kerajaan negeri. Mereka membantu kami memberi rumah atau tanah kepada bekas atlet di negeri masing-masing."

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan kepada bekas atlet yang dihulurkan syarikat pengeluar produk kesihatan, Biotropics Malaysia yang juga rakan strategik yayasan itu, hari ini.

Antara bekas atlet yang menerima sumbangan itu ialah pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2006-2009 dalam sukan boling, Ahamad Amil Husin, Azman Hassan (pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2011, sukan tenis OKU) dan Darus Abdullah (peserta Sukan SEA 1989 sukan angkat berat).

Ditanya mengenai apakah perancangan YAKEB selepas ini, Noorul berkata, mereka akan meneruskan usaha membantu bekas atlet bersama syarikat korporat dan swasta bukan saja daripada aspek kewangan tetapi juga kursus kemahiran.

"Selepas ini kami akan merentasi negeri dan menziarahi legenda bola sepak Datuk Namat Abdullah. Kita juga akan menziarah Ahmad Sofian untuk cuba mendapatkannya bantuan daripada Yayasan IJN bagi merawat sakit jantungnya. Mungkin minggu depan kita akan bawanya ke IJN untuk dapatkan rawatan.

"Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan yayasan lain seperti Yayasan Hasanah yang menyumbangkan kira-kira RM200,000 kepada 60 atlet untuk mengikuti kursus kemahiran. Mungkin dalam minggu depan, kita akan menandatangani perjanjian bersama mereka.

"Semua kursus ini kita akan beri kepada bekas atlet dan yang masih aktif. Bukan saja kursus, tetapi kita juga akan berikan barangan kepada mereka selain menunjuk jalan untuk mereka membina perniagaan sehingga boleh berdiri dengan kaki sendiri." katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biostropics Malaysia, Tengku Shahrir Tengku Adnan berkata, idea asal bagi membantu bekas atlet ini timbul selepas melihat usaha keras dan pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara.

"Kita ada terbaca mengenai bekas atlet. Bekas atlet ini mereka berkorban, bekerja keras untuk negara. Jadi daripada fizikalnya banyak memberi kesan dan mereka juga pencen awal, tak sama seperti orang lain dan itu memberi kesan kepada pendapatan dan cara hidup mereka.

"Saya rasa kita boleh membantu... mula-mula dengan sedikit dulu dan mungkin banyak lagi yang boleh dilakukan nanti," kata Tengku Shahrir.

 

Sumber : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jun 11, 2020

GIVE A REPLY