KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meneruskan usaha murni hari ini dengan mengadakan kunjungan ke kediaman legenda bola sepak dan sepak takraw negara di Pulau Pinang dan Perlis.

Antara yang dilawati Skuad YAKEB Prihatin menerusi aktiviti 'Visit&Treate' yang diketuai Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed kali ini adalah Datuk Namat Abdullah, Datuk M Kuppan, Datuk Shukor Salleh, Datuk Mohd Bakar dan Johari Maina dan bekas pemain sepak takraw, Mohd Nor Ali.

YAKEB turut mengunjungi 'arkitek' bola sepak negara ketika Sukan Olimpik 1972, Syed Ahmad Abu Bakar di Arau, Perlis.

Difahamkan Syed Ahmad akan menjalani rawatan kemoterapi dan aneurisma saluran darah di perut dalam masa terdekat ini.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf mengakui semua legenda itu gembira dan terharu apabila dikunjungi skuad YAKEB.

"Mereka gembira dan berterima kasih atas kunjungan yang dilakukan. Kami harap dapat melakukan kunjungan lebih kerap bertemu bekas-bekas atlet untuk mengetahui masalah yang dihadapi mereka," katanya.

Semalam, YAKEB mengunjungi bekas penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sofian Ahmad Zulkifli yang mengalami masalah strok dan juga jantung.

Pada kunjungan itu, YAKEB mengambil pendekatan menyediakan perkhidmatan paramedik ke kediaman Ahmad Sofian dua kali seminggu sebelum boleh dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan jantung.

Minggu lalu juga, YAKEB bersama Yayasan IJN membantu legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din bagi mendapatkan pembiayaan merawat penyakit jantung dihidapinya di IJN.

Sumber : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jun 15, 2020

Skip to toolbar