KUALA LUMPUR: Legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din tidak dapat menahan sebak apabila Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Yayasan Institut Jantung Negara membantu merawat penyakit jantung yang dihidapinya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila itu mula mengetahui penyakitnya pada 2017 dan kini dibantu dua yayasan berkenaan untuk menjalani proses rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya terharu dengan bantuan yang diberikan YAKEB dan Yayasan IJN," katanya dalam keadaan sebak.

"(Terima kasih) pada Yayasan IJN dan juga YAKEB yang menolong saya. (Tanpa bantuan) memang sukarlah untuk saya keluarkan sendiri (perbelanjaan rawatan yang menelan kos tinggi)."

Legenda emas yang berusia 53 tahun itu adalah bekas atlet kedua yang menerima bantuan itu dan yang pertama adalah bekas pemain hoki yang pernah beraksi pada dua temasya Sukan Olimpik, Ahmad Fadzil Zainal pada 2018.

Bagi pembiayaan rawatan pesakit luar hari ini, Rehan ditanggung penuh YAKEB dan sekiranya ada prosedur atau pembedahan, ia akan dibiayai Yayasan IJN sepenuhnya termasuk kos rawatan susulan selepas itu.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mengharapkan lebih banyak lagi syarikat mahupun yayasan lain mengikuti jejak Yayasan IJN dalam menghulurkan bantuan kepada individu memerlukan termasuk bekas atlet.

"Saya berharap supaya bekas atlet yang kurang berkemampuan dapat diberi perhatian Yayasan IJN. Saya juga terharu dengan Yayasan IJN kerana kos rawatan jantung ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit dan mereka mengambil inisiatif untuk membantu bukan saja kepada bekas atlet tetapi juga orang lain di luar sana," kata Noorul.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Yayasan IJN, Datin Seri Zuraida Raja Mansur berkata, yayasan ini mula ditubuhkan pada 1995 dengan objektif utama mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan atau pembedahan pesakit jantung yang kurang berkemampuan di IJN.

Katanya, di bawah Program Bantuan Pesakit pada 2019, yayasan sudah membelanjakan hampir RM6.4 juta bagi membantu 393 pesakit yang kurang berkemampuan bagi membiayai kos rawatan atau pembedahan.

"Kami di yayasan, sedia untuk membantu sesiapa yang memerlukan bantuan. Penyakit jantung ini boleh kena pada sesiapa. Tak kira seperti pemain bola sepak, atlet berbasikal atau yang lain. Kita pernah dengar ada yang begitu cergas dan sihat tetapi tiba-tiba kena serangan jantung.

"Begitupun, kita bertuah kerana di IJN ini ada kemudahan perubatan bertaraf dunia dan penyakit jantung ini boleh dirawat dengan kemudahan alat saintifik, klinikal terkini dan kepakaran doktor di IJN.

"Dengan yayasan, institut dan kualiti yang ada di IJN, kita boleh membantu pesakit yang memerlukan seperti Rehan. Kami sedia membantu.

"Di sini, kami juga perlu mencari dana seterusnya bagi membantu pesakit yang akan datang. Kami memerlukan dana kerana penyakit jantung ini boleh kena pada semua," kata Zuraida.

 

Sumber : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jun 10, 2020

GIVE A REPLY