SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM195,350 untuk membantu meringankan beban bekas atlet Selangor termasuk atlet Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020.

EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

"Sebagai permulaan, kita akan membantu 50 bekas atlet negeri ini. Mereka akan diberi bantuan seperti membaikpulih kerosakan rumah dan pemberian sumbangan barangan keperluan seperti perabot dan kelengkapan rumah.

"Setiap penerima mempunyai keperluan yang berbeza, justeru kita akan beri mengikut keperluan mereka dan penerima yang layak dalam kalangan bekas atlet yang dalam kesempitan serta tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Ceria Atlet Selangor 2020 di Bangunan SUK Selangor, hari ini. Turut hadir Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Khairuddin berkata, sekurang-kurang 250 permohonan diterima YAKEB dan pemilihan dibuat berdasarkan penilaian pejabat EXCO, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) serta YAKEB dengan mengunjungi rumah bekas atlet.

Sementara itu, Noorul Ariffin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana membantu bekas atlet yang kebanyakannya mengalami kesusahan ketika ini.

"Tidak semua bekas atlet yang hidup senang selepas mereka bersara daripada arena sukan.

"Kita harap program ini boleh menjadi pemangkin kepada kerajaan negeri lain supaya mereka boleh memperkenalkan program yang sama," katanya.

Seorang penerima bantuan berkenaan adalah bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim.

Zakri berkata, beliau bersyukur apabila kerajaan negeri bekerjasama dengan YAKEB untuk membantu bekas atlet yang kurang bernasib baik sepertinya.

"Saya bersara sekitar 2000 dan ini kali pertama saya menerima bantuan selepas tidak lagi aktif dalam bidang sukan. Saya amat terharu kerana ia menunjukkan ada pihak yang ingat serta menghargai kami yang pernah mengharumkan nama negara dahulu," katanya.

 

Sumber Daripada : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Sep 03, 2020

Skip to toolbar