KUALA LUMPUR: Skuad Prihatin Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meneruskan eksplorasi jelajah yayasan ke selatan tanah air hari ini, merangkumi Johor Bahru dan Muar untuk aktiviti ‘visit & treat’ ahlinya.
Ini adalah kesinambungan program sebelum ini yang menyaksikan lawatan dan kunjungan skuad prihatin di bahagian utara tanah air bagi membantu ahli yayasan yang memerlukan bantuan pada Mei dan Jun lalu.
Diketuai Ketua Panel Penasihat Kesihatan YAKEB, Datuk Dr Mohammed Alwi Abd Rahman, skuad prihatin yang turut menghulurkan bantuan, hari ini melawat bekas atlet silat negara, Norita Zaini di Muar dan Samah Ali (bekas atlet angkat berat kebangsaan) yang mengalami masalah kencing manis.
“Hari ini, kita berada di Johor Bahru. Melawat sahabat ahli silat yang mempunyai masalah jantung iaitu Puan Norita (Zaini). Kehadiran kami adalah untuk memberikan sedikit nasihat mengenai perubatan selain menyalurkan semangat supaya beliau dapat meneruskan pemeriksaan (kesihatan).
“Selain itu, kita juga memberikan sumbangan bagi pihak Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul (Ariffin Abdul Majeed). Kita sama-sama melawat keluarga beliau dan diharapkan dapat cepat kembali sembuh serta mengikut rawatan di IJN (Institut Jantung Negara) pada masa akan datang.
“Pada masa ini, beliau sedang menunggu keputusan darah yang lebih elok dan akan ke IJN bagi mendapatkan rawatan selepas semuanya okey,” kata Mohammed Alwi yang juga Ketua Jabatan Pakar dan Kecemasan Hospital Selayang.
“Samah mempunyai masalah kencing manis. Esok, kita juga akan berjumpa dengan keluarga Allahyarham Taib Abdullah untuk memberikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM3,000.
“Dalam masa sama, kita juga akan melawat bekas atlet berbasikal di Johor, Paliau @ Abdul Sukor Sodar (mengalami masalah jantung).”
Skuad Prihatin YAKEB sebelum ini menjelajah ke bahagian utara tanah air dengan mengunjungi arkitek bola sepak negara pada era 70-an, Syed Ahmad Abu Bakar di Perlis, bekas penjaga gol hoki negara, Ahmad Sofian Ahmad Zolkifli (Ipoh) dan beberapa legenda bola sepak seperti Datuk M Karupan, Datuk Shukor Salleh, Datuk Mohd Bakar.
Sumber daripada : Berita Harian Online