TIADA pekerjaan tetap, pendapatan tidak menentu dan harapkan bantuan orang, begitulah realiti kehidupan insan yang pernah mengharumkan nama negara.

Ketika menjadi atlet dan berjaya mengharumkan nama negara dalam pelbagai temasya atau kejohanan, mereka ini dijulang dan dipuji.

Namun, hari ini mereka hidup melarat, bertukar pekerjaan, dibuang kerja dan akhrnya sakit, tetapi tidak ramai yang peduli.

Kemudian terpaksa mengharapkan bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso) sebagai sumber pendapatan.

Begitulah nasib yang dialami dua figura atlet yang pernah mengharumkan nama negara dalam arena sukan seperti angkat berat dan karate, Darus Abdullah dan Fong Chein Wai.

Darus, 61, dahulu pernah mengharumkan nama negara dalam acara angkat berat sekitar tahun 1980-an.

Kali terakhir beliau beraksi adalah pada tahun 1989 di peringkat kebangsaan.

“Itu kali terakhir. Masa itu saya berjaya angkat barbel dengan cakera seberat 125 kilogram (KG) itu rekod peribadi.

“Kemudian saya bersara kerana tidak sihat terkena penyakit yang tidak tahu puncanya. Sehingga hari ini saya terpaksa berjalan menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka baru-baru ini.

 

FONG CHEIN WAI kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan Darus Abdullah pula menggunakan tongat. – SM

 

Tambah beliau, selepas bersara beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah bekerja di beberapa buah hotel.

“Pangkat tidak tinggi pun, tetapi pernahlah berkhidmat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) (kini dikenali sebagai WTC).

“Kemudian kerja di Istana Hotel. Tempat kerja terakhir saya adalah dekat sebuah kelab bina badan di bangunan UOA.

“Tetapi, saya diberhentikan kerja kerana ketika itu kelab itu dikatakan rugi dan tak mampu bayar gaji.

“Sejak itu kehidupan saya seperti sekarang, mengharapkan bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). Mujur ada pencen ilat Perkeso walaupun tidak seberapa,” ujarnya.

Sementara itu, bekas atlet karate, Chein Wai, 49, juga kini perlu mengharapkan bantuan daripada Yakeb dan juga JKM.

 

 

Menurutnya, tiada siapa hendak terima bekerja kerana keadaannya kini berkerusi roda dan sukar bergerak.

“Saya alami masalah athritis dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menjalani pembedahan replacement total hips. Puncanya dahulu saya pernah jatuh.

“Sejak itu tidak dapat bekerja terpaksa mengharapkan bantuan. Mujur JKM bagi bantuan RM250 sebulan. Bantuan perubatan pula dihulurkan Yakeb, kerusi roda ini pun mereka yang sumbang,” katanya dengan nada seloroh.

Dalam pada itu, mengulas situasi yang dihadapi bekas atlet termasuk mereka yang kini bergelar orang kurang upaya (OKU), Exco Selangor, Mohd. Khairuddin Othman menegaskan mereka perlu dibantu.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Negeri Selangor itu, insentif khas perlu diberikan kepada mereka.

Menurutnya, bekas atlet ini berjasa kerana pernah mengharumkan nama negara dan itu mempengaruhi perkembangan ekonomi.

“Kita tidak boleh lupakan bekas atlet walaupun jasa mereka telah lama berlalu sejak 1970-an atau 1960-an sekalipun.

“Justeru saya menyeru semua agensi kerajaan dan swasta hulurkan bantuan, termasuklah memberikan pekerjaan tetap kepada mereka.

“Dalam lawatan pada Hari Raya Aidilfitri lepas, saya terkilan melihat keadaan bekas atlet, ada yang sakit, rumah daif malah ada yang tiada rumah langsung. Terpaksa berteduh di surau dan masjid.

“Kita tidak tahu apa kesilapan mereka. Tetapi mereka pernah mengharumkan nama negara.

“Sebab itu saya setuju Kerajaan Negeri bantu dengan menghulurkan sumbangan RM195,350 kepada Yakeb untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Tetapi, tak boleh harapkan Kerajaan Negeri, semua agensi kerajaan dan swasta kena sama-sama bantu bekas atlet,” ujarnya.

 

 

Mohd. Khairuddin berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Ceria Atlet Selangor 2020.

Program tersebut dianjurkan bagi membantu bekas Atlet Selangor dan anak Selangor yang pernah mewakili negara dalam pelbagai acara sukan.

Bantuan tersebut diuruskan oleh Yakeb yang menerima 250 permohonan, namun menurut Mohd. Khairuddin pada peringkat awal sebanyak 50 bekas atlet akan dibantu dahulu. – SM

 

Sumber daripada : Suara Merdeka

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Sep 04, 2020

Skip to toolbar