Visit & Treat – Skuad YAKEB Prihatin ke Utara

Skuad YAKEB Prihatin baru-baru ini mengadakan misi ke bahagian utara tanah air merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tujuan perjalanan ini adalah untuk menghadiri program reunion bekas pemain sepak takraw di Pulau Pinang, melaksanakan Program Mini YAKEB Turun Padang di Kedah, serta meneruskan inisiatif berterusan Visit & Treat – iaitu menziarahi, memberi sumbangan dan menyantuni bekas atlet kebangsaan.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen YAKEB untuk terus menjaga kebajikan, kesihatan, dan kelangsungan hidup ahlinya, di samping memperkukuh hubungan bersama bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara.


1. Pertemuan Bermakna di Pulau Pinang

Di Pulau Pinang, skuad berpeluang bertemu dengan Dato’ Shukor Salleh, legenda bola sepak Harimau Malaya era 1970-an. Antara pencapaian gemilang beliau termasuklah:

  • Pingat gangsa pada Sukan Asia 1974

  • Kelayakan ke Sukan Olimpik 1980

  • Dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1977

Turut hadir Johari Maina, lagenda bola sepak Pulau Pinang dan bekas pemain kebangsaan, yang menjadi tuan rumah bagi pertemuan penuh makna ini.

2. Menyantuni Bekas Atlet di Kedah

Perjalanan diteruskan ke Kedah dengan pelaksanaan Program Mini YAKEB Turun Padang. Selepas program, skuad menziarahi Sulaiman Hj Ibrahim, bekas pemain sepak takraw negara yang pernah menyumbang pingat emas SEAP Games 1975.

Beliau kini berdepan cabaran kesihatan akibat penyakit kencing manis. Sebagai tanda prihatin, YAKEB sebelum ini telah menyumbangkan sebuah katil hospital khas untuk kegunaan beliau.


3. Sokongan Kepada Usahawan Atlet

Misi ini turut diserikan dengan persinggahan di Sabut Ikan Bakar, Kuala Perlis, sebuah restoran makanan laut yang diusahakan oleh bekas atlet tinju negara, P. Moideen Kutty P. Said Ali, bersama anak-anaknya. Restoran ini terkenal dengan hidangan yang enak serta layanan mesra kepada pelanggan.

YAKEB sentiasa komited menyokong bekas atlet yang menceburi bidang keusahawanan. Sejajar dengan itu, YAKEB bakal melancarkan satu ruangan e-dagang khas di laman web rasmi untuk membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan yang diusahakan oleh ahli-ahlinya.

 


YAKEB akan terus berdiri teguh bersama bekas atlet, memastikan mereka sentiasa mendapat sokongan dari segi kesihatan, rezeki, dan kesejahteraan hidup.