YAKEB TERUS PERKUKUH MISI “VISIT & TREAT” DI KELANTAN 

MENYANTUNI BEKAS ATLET NEGARA SELAMA DUA HARI BERTURUT-TURUT

KOTA BHARU, 27 November – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meneruskan komitmennya menjaga kebajikan bekas atlet negara melalui Program Visit & Treat Skuad YAKEB Prihatin Zon Kelantan, yang berlangsung pada 25 dan 26 November 2025, melibatkan ziarah ke rumah serta fasiliti rawatan bekas atlet pelbagai sukan di beberapa lokasi sekitar negeri ini.

Lawatan diketuai Pengerusi YAKEB, Dato’ Haji Ahmad Shapawi Ismail, bersama pasukan YAKEB Prihatin sebagai wakil rasmi Kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dalam memastikan kebajikan bekas atlet terus mendapat perhatian sewajarnya.

Menurut Dato’ Ahmad Shapawi, setiap pertemuan membuka ruang untuk YAKEB melihat sendiri keadaan bekas atlet, memahami keperluan mereka dan menyalurkan bantuan yang sesuai.

“Setiap pintu rumah yang kami kunjungi membawa cerita tentang perjuangan, semangat dan maruah seorang bekas atlet negara. Ada yang diuji kesihatan, ada yang mengurus kehidupan seadanya, tetapi yang sama ialah semangat mereka yang tidak pernah padam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kecekalan para isteri yang menjadi nadi sokongan kepada bekas atlet yang diuji kesihatan.

“Saya amat tersentuh melihat peranan isteri-isteri ini. Mereka bukan sekadar penjaga, tetapi kekuatan utama keluarga. YAKEB merakamkan setinggi-tinggi penghormatan dan ucapan terima kasih atas ketabahan mereka,” ujarnya.

LAWATAN HARI PERTAMA (25 NOVEMBER 2025)

Lawatan dimulakan di sekitar Tanah Merah dan Machang, melibatkan dua bekas atlet:

1. Sharifah Raudzah Syed Mohd (Powerlifting Para) – Tanah Merah

Beliau memaklumkan beberapa isu berkaitan kediaman yang sedang dihadapi. YAKEB mengumpul maklumat terperinci dan akan meneliti bantuan yang bersesuaian demi memastikan keselesaan hidup beliau.

1. Rahim Yusoff (Olahraga – Para) – Pulai Chondong

Rahim yang mempunyai kecacatan fizikal tetap gigih menjahit, menternak ikan dan lembu serta bercucuk tanam bagi menyara keluarga.
Pada hari sama, beliau sedang bersiap ke Kuala Lumpur untuk menghadiri konvokesyen anaknya di UiTM Shah Alam yang akan berlangsung pada 27 November 2025.

YAKEB sempat menyalurkan bantuan khas bagi memudahkan urusan pengajian anak beliau.

“Kisah Rahim menggambarkan semangat luar biasa seorang bekas atlet. Walau serba kekurangan, beliau tidak pernah berhenti berusaha,” kata Dato’ Ahmad Shapawi.

LAWATAN HARI KEDUA (26 NOVEMBER 2025)

Hari kedua melibatkan lima lagi ziarah di sekitar Kota Bharu, Wakaf Baru, Bachok dan Pengkalan Chepa:

1. Adnan Ibrahim (Bola Sepak) – Pintu Geng

Bekas pemain kebangsaan ini menunjukkan perkembangan positif selepas diserang angin ahmar sebelum ini.

Beliau berkongsi mengenai proses pemulihan dan usaha keluarga menambah pendapatan melalui perniagaan makanan secara dalam talian yang diusahakan oleh isterinya.

Turut hadir semasa lawatan ini ialah Fatimah Daud, bekas atlet olahraga para, yang berkongsi perkembangan terkini sukan para bersama Dato’ Pengerusi.

2. Azam Abass (Silat) – Wakaf Baru

Bekas pesilat negara yang kini mengusahakan restoran dan perniagaan katering. Azam menyediakan hidangan “food tasting” untuk pihak YAKEB sebagai persiapan memaparkan perniagaannya di platform e-dagang YAKEB.

3. Muhamad Razani Husain (Triathlon) – Hospital Bachok

Bekas atlet triathlon negara ini kini diuji dengan kanser prostat tahap 4. Walaupun keadaan fizikalnya lemah, semangat juangnya tetap jelas. Isterinya turut memainkan peranan penting sebagai penyokong dan penjaga utama.

4. Zainudin Mohamad Nawi (Silat) – Kampung Tok Sadang, Pengkalan Chepa

Bekas pesilat negara yang sebelum ini berdepan kencing manis kronik. Keadaannya kini lebih stabil hasil gabungan rawatan saintifik dan alternatif. Wajahnya kelihatan lebih segar, memberi harapan positif kepada proses pemulihannya.

67 BEKAS ATLET KELANTAN BERDAFTAR DENGAN YAKEB

Sehingga kini, YAKEB mempunyai 67 ahli dari negeri Kelantan:

  • 55 ahli kategori Able,
  • 12 ahli kategori Para.

Mereka berada dalam pemantauan berterusan YAKEB untuk bantuan kewangan, perubatan dan kesejahteraan mengikut keperluan masing-masing.

YAKEB KOMITED TERUS MENYATUNI BEKAS ATLET NEGARA

Melalui program Visit & Treat, YAKEB berperanan sebagai jambatan kebajikan dan talian hayat bekas atlet negara, selaras mandat kerajaan dan KBS.

“Kami mahu bekas atlet tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Negara menghargai jasa mereka, dan YAKEB akan terus memastikan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya,” kata Dato’ Ahmad Shapawi.

Program Visit & Treat di Kelantan memberi gambaran jelas tentang keperluan sokongan berterusan kepada bekas atlet dan akan diteruskan ke negeri-negeri lain.

Dalam waktu yang sama, pihak YAKEB turut menyeru ahli yang terjejas dengan keadaan musibah banjir diketika ini untuk berhubung dengan pejabat YAKEB di talian 03-2092 4844 / 017- 219 4811