YAKEB Prihatin : Menjaga Bekas Atlet Gimnastik, Lock Han Chuan
Hari ini, Skuad YAKEB Prihatin menziarah Lock Han Chuan, bekas atlet gimnastik Malaysia yang pernah beraksi di Sukan SEA 1989, Kuala Lumpur. Turut bersama ialah Lim Aie Lian, bekas atlet dan jurulatih gimrama, bagi membantu memastikan Han Chuan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Setibanya di rumahnya di Aulong, pasukan kami mendapati Han Chuan tinggal bersendirian dan mengalami masalah kesihatan, termasuk penglihatan yang kabur selepas strok. Malangnya, beliau telah tersadung hingga kaki berdarah, disebabkan keadaan rumah yang tidak terurus.
Tanpa berlengah, Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj. Ahmad Shapawi Ismail, memutuskan untuk membawa Han Chuan mendapatkan rawatan perubatan. Doktor mengesahkan bahawa beliau memerlukan rawatan harian selama seminggu bagi mengelakkan komplikasi serius.
YAKEB akan menanggung kos rawatan penuh, dan dengan kerjasama Lim Aie Lian, pasukan kami juga akan mengatur kerja-kerja pembersihan serta susun atur semula rumah beliau, supaya Han Chuan dapat hidup lebih selesa, selamat, dan sejahtera.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha YAKEB untuk memastikan bekas atlet negara terus mendapat sokongan dan perhatian, sambil menekankan mesej “Atlet Jaga Atlet”dalam komuniti sukan.