Kesinambungan aktiviti Visit & Treat Skuad YAKEB Prihatin di utara tanah air membawa skuad ke Arau, Perlis, untuk menziarah Saidin Osman, lagenda bola sepak Perlis dan kebangsaan. Rumah beliau terjejas teruk akibat banjir yang melanda negeri pada bulan November yang lalu.

Menurut Saidin, sewaktu air mula memasuki rumah, beliau segera bergegas pulang dari Kuala Lumpur. Namun, pihak polis tidak membenarkannya memasuki kawasan rumah kerana kawasan tersebut telah dikelilingi air banjir. Dengan tekad dan semangat tinggi, Saidin akhirnya berjaya sampai ke rumah, memastikan keselamatan anak dan cucunya serta cuba menyelamatkan harta benda yang termampu.

Sejak kejadian itu sehingga lawatan ini, Saidin masih dalam proses membaik pulih rumahnya. Beliau berkongsi bahawa banjir kali ini antara yang paling buruk pernah dialaminya, namun semangatnya tetap tinggi.

 

Saidin dikenang ramai melalui aksi beliau dalam arena bola sepak kebangsaan sewaktu Pesta Bola Merdeka Ke-26 pada tahun 1982 di Stadium Merdeka. Beliau muncul sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol tunggal ketika menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Gol dramatik ini hadir hanya lima minit sebelum tamat permainan, memberi nafas baharu kepada pasukan Malaysia dan meninggalkan kenangan abadi di hati peminat bola sepak negara.

Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj Ahmad Shapawi Ismail, menyampaikan sumbangan di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB, sebagai tanda prihatin terhadap bekas atlet yang menghadapi musibah. Sebelum ini, YAKEB juga pernah membantu Saidin dalam aspek perubatan, dan bantuan serta sokongan yang sama akan terus diberikan apabila diperlukan pada masa akan datang.

YAKEB mendoakan agar Saidin Osman terus tabah menghadapi dugaan ini. Ziarah ini menjadi peringatan bahawa jasa lagenda sukan negara tidak pernah dilupakan. YAKEB Prihatin — bersama bekas atlet, setiap langkah perjalanan.