Dukacita dimaklumkan, ahli YAKEB iaitu bekas atlet Taekwondo negara, Mohamed Ramlan Mohd Farook, telah kembali ke rahmatullah.

Allahyarham yang menghidap kanser paru-paru tahap 4 pada mulanya dilaporkan dimasukkan ke hospital di Kuala Terengganu. Selang beberapa hari, arwah dibawa pulang ke rumah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 16 Disember 2025.

Allahyarham merupakan seorang yang amat dikenali dan disegani dalam dunia Taekwondo tanah air. Selain bergelar jurulatih yang dihormati, beliau juga pernah mewakili negara ke Sukan SEA 1999 di Brunei dan berjaya menyumbangkan pingat emas, sekali gus mengharumkan nama Malaysia. Sumbangan dan jasanya diteruskan melalui kelab yang diasaskannya, Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu, yang banyak melahirkan atlet berkaliber.

Seluruh warga YAKEB merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.