Skuad YAKEB Prihatin telah mengadakan kunjungan susulan ke kediaman bekas atlet, Adnan Ibrahim, di Kelantan sebagai kesinambungan kepada lawatan kebajikan yang diadakan pada 26 November lalu. Lawatan ini dilaksanakan di bawah inisiatif Visit & Treat yang memberi fokus kepada kebajikan serta kesejahteraan bekas atlet negara.
Pada lawatan terdahulu, Adnan Ibrahim telah meluahkan keperluan untuk mendapatkan sebuah kerusi roda bagi membantu pergerakan hariannya selepas mengalami serangan angin ahmar. Keperluan tersebut dikenal pasti sebagai penting dalam menyokong proses pemulihan serta memudahkan urusan harian beliau.
Sehubungan itu, dalam lawatan susulan ini, wakil Skuad YAKEB Prihatin, Mohd Emran Zakaria, telah menyampaikan sumbangan peralatan sokongan kesihatan berupa kerusi roda bagi pihak YAKEB. Kerusi roda tersebut telah dipilih sendiri oleh Adnan Ibrahim mengikut kesesuaian dan keperluan beliau, bagi memastikan keselesaan serta keberkesanan penggunaan.
Sumbangan ini disalurkan melalui Skim Bantuan Khas YAKEB, selaras dengan komitmen berterusan yayasan dalam menjaga kebajikan bekas atlet yang telah banyak berjasa dan mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu.
YAKEB berharap agar sumbangan ini dapat membantu memudahkan pergerakan harian Adnan Ibrahim serta memberikan sokongan moral dan fizikal dalam proses pemulihan beliau.
Sebagai sebuah organisasi yang prihatin, YAKEB akan terus mendekati dan menyantuni kebajikan bekas atlet sebagai tanda penghargaan atas jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka kepada sukan dan negara.