20 Disember 2025 – Skuad YAKEB Prihatin hari ini telah mengadakan aktiviti Visit & Treat dengan menziarah bekas atlet silat negara, Mohd Azam Mokhtar, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kajang. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan YAKEB dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan atlet serta bekas atlet sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan ujian kesihatan.
Mohd Azam dimasukkan ke wad pada hari Selasa susulan jangkitan pada pundi hempedu. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat batu hempedu, namun beliau tidak memerlukan pembedahan kerana saiz batu tersebut kecil dan boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan. Sebelum ini, beliau turut mengalami kesakitan dan selepas imbasan lanjut dilakukan, cecair hempedu telah dikeluarkan bagi mengurangkan ketidakselesaan yang dialami.
Selain itu, Mohd Azam mempunyai sejarah penyakit strok yang menyebabkan kesukaran untuk menelan makanan. Justeru, pemakanan beliau ketika ini diberikan melalui tiub, dan beliau turut menggunakan bantuan oksigen. Menurut doktor yang merawat, perkembangan kesihatan Mohd Azam setakat ini menunjukkan tanda-tanda yang positif dan memberangsangkan.
Dalam lawatan yang sama, Skuad YAKEB Prihatin turut mengambil kesempatan menziarah isteri Mohd Azam, Puan Samsidar binti Ismail, yang juga sedang menerima rawatan di hospital yang sama. Puan Samsidar dimasukkan ke wad sehari lebih awal daripada suaminya akibat terjatuh ketika mencuci lantai di kediaman mereka sehingga menyebabkan patah tulang pinggul.
Mohd Azam Mokhtar bukanlah nama asing dalam dunia sukan tanah air. Beliau merupakan pemenang Pingat Emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, dan telah banyak menabur jasa serta mengharumkan nama negara menerusi pencapaian beliau dalam sukan silat di peringkat antarabangsa.
Kehadiran Skuad YAKEB Prihatin di sisi Mohd Azam dan keluarga diharapkan dapat memberikan sokongan moral serta sedikit kelegaan kepada mereka dalam menghadapi tempoh rawatan ini. YAKEB sentiasa komited untuk terus membantu dan menyantuni atlet serta bekas atlet yang memerlukan, selaras dengan matlamat penubuhan organisasi ini.
Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Mohd Azam Mokhtar dan isteri beliau dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan, serta diberikan kekuatan, ketabahan dan kesejahteraan oleh Allah SWT.