YAKEB dan Universiti Malaya Bakal Jalinkan Kerjasama Kajian Kesihatan Bekas Atlet Negara

Kuala Lumpur  –  4 Disember 2025

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) hari ini mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Jabatan Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, yang diwakili oleh Assoc. Prof. Dr. Mohamad Shariff bin A Hamid dan Dr. Wong Chen Choong.

Pertemuan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik bagi melaksanakan kaji selidik bertajuk “Kelaziman Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Kaitannya dengan Tahap Aktiviti Fizikal dalam Kalangan Bekas Atlet Kebangsaan Malaysia.”

Kajian ini dijangka membantu mengenal pasti tahap kelaziman NCD dalam kalangan bekas atlet serta hubungannya dengan corak aktiviti fizikal selepas persaraan.
Hasil dapatan kaji selidik ini dijangka dapat mengenal pasti faktor risiko utama yang menyumbang kepada perkembangan NCD, seterusnya membimbing strategi intervensi dan program kesihatan bagi mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan bekas atlet Malaysia.
YAKEB amat mengalu-alukan inisiatif ini dan menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak akademik demi meningkatkan kesejahteraan bekas atlet kebangsaan serta menyokong agenda pembangunan kesihatan sukan negara.