YAKEB Sertai Majlis Hi-Tea Reunion & Pengisytiharan Persatuan Bekas Atlet Taiping
Taiping, 30 November 2025 – Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Dato’ Haji Ahmad Shapawi Ismail, menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion dan Pengisytiharan Persatuan Bekas Atlet Taiping yang berlangsung di Hotel Grand Baron, Taiping. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YABhg Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Orang Besar Jajahan Larut, Matang & Selama Dato’ Seri Wan Mohd Isa selaku Penaung Persatuan, Y.M Raja Omar Ikram Raja Abdullah Omar (Pengerusi Persatuan yang juga bekas atlet ragbi negara), Puan Normala Abd Rashid (Setiausaha Persatuan yang juga bekas atlet bola sepak wanita negara merangkap Ahli Pemegang Amanah YAKEB) serta ahli persatuan berkenaan.
Penyertaan YAKEB dalam majlis ini mencerminkan komitmen berterusan yayasan dalam menyokong jaringan persatuan bekas atlet di seluruh negara, termasuk inisiatif baharu yang digerakkan di peringkat daerah dan negeri.
Perak antara negeri dengan jumlah ahli YAKEB tertinggi
Setakat ini, YAKEB mempunyai 3,200 ahli berdaftar di seluruh negara. Dari jumlah tersebut, 187 merupakan bekas atlet negeri Perak, merangkumi 142 lelaki dan 45 wanita. Seramai 15 ahli YAKEB menetap di kawasan Taiping, menjadikan penubuhan Persatuan Bekas Atlet Taiping sebagai platform tepat untuk memperkukuh hubungan antara bekas atlet di daerah ini.
Menurut Dato’ Ahmad Shapawi, penubuhan persatuan di peringkat lokal mampu menggerakkan aktiviti kebajikan dengan lebih tersusun. Beliau menekankan bahawa kedua-dua entiti – persatuan daerah dan YAKEB – mempunyai matlamat yang saling melengkapi, khususnya dalam usaha menjaga kebajikan bekas atlet negara.
Keperluan kepimpinan persatuan yang aktif dan berhalatuju
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan bahawa sesebuah persatuan hanya akan berkembang sekiranya digerakkan dengan kepimpinan yang aktif, berintegriti dan mempunyai halatuju jelas.
“Persatuan yang utuh bukan bergantung kepada jumlah ahli semata-mata, tetapi kemampuan kepimpinan menggerakkan program, menetapkan hala tuju yang jelas dan memastikan kebajikan ahli benar-benar terbela,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar kepimpinan persatuan memberi perhatian kepada usaha mendapatkan dana dan sokongan rakan strategik kerana tanpa sumber kewangan yang kukuh, aktiviti kebajikan akan sukar dilaksanakan.
Tiada peruntukan tetap – YAKEB bergantung kepada usaha mendapatkan dana
Mengulas mengenai pengalaman YAKEB sendiri, Dato’ Ahmad Shapawi menjelaskan bahawa YAKEB tidak mempunyai peruntukan tetap. Dana operasi serta bantuan kebajikan diperoleh melalui tiga sumber utama : Kerajaan, Sektor swasta, dan Sumbangan individu.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat waktu sukar di mana YAKEB terpaksa membuat keputusan tidak popular, termasuk mengalihkan rawatan perubatan ahli ke hospital kerajaan apabila dana berada pada tahap kritikal. Namun, langkah pragmatik itu membolehkan YAKEB bertahan dan terus berkhidmat hingga hari ini.
Penambahbaikan Skim Bantuan Khas YAKEB
Sejak mengambil alih kepimpinan, Dato’ Ahmad Shapawi menekankan fokus terhadap penambahbaikan Skim Bantuan Khas YAKEB, memastikan manfaat yang diberikan benar-benar relevan dan memberi kesan kepada kesejahteraan ahli. Bantuan kini merangkumi :
- Rawatan perubatan
- Sumbangan khairat kematian
- Bantuan bencana alam
- Kursus peningkatan kemahiran
- Bantuan sara diri
- Bantuan melanjutkan pelajaran
- Bantuan peralatan perniagaan
Penambahbaikan ini dilakukan secara berperingkat, mengikut kemampuan dana semasa.
Kelayakan menjadi ahli – bagi mengelakkan kekeliruan
Berikutan ramai tetamu majlis terdiri daripada bekas atlet negeri, YAKEB turut memaklumkan bahawa keahlian YAKEB diperuntukkan kepada atlet yang pernah mewakili negara sekurang-kurangnya ke temasya Sukan SEA. Penjelasan ini diberikan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai syarat kelayakan.
YAKEB sedia bekerjasama dengan Persatuan Bekas Atlet Taiping
Menutup ucapannya, Dato’ Ahmad Shapawi menyatakan kesediaan YAKEB untuk bekerjasama dengan Persatuan Bekas Atlet Taiping dalam aspek program kebajikan, pembangunan kapasiti ahli serta penyelarasan bantuan.
Beliau berharap penubuhan persatuan ini menjadi platform yang aktif dan bermanfaat kepada bekas atlet di daerah Taiping amnya dan negeri Perak khasnya.