KUALA LUMPUR: Selepas legenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din menerima bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), kini giliran bekas penjaga gol pasukan hoki kebangsaan, Ahmad Sofian Ahmad Zulkifli mendapat perhatian.

Semalam, yayasan berkenaan meneruskan aktiviti 'Visit & Treat' menerusi Skuad YAKEB Prihatin dengan mengadakan kunjungan ke kediaman bekas pemain kebangsaan itu di Ipoh bagi melihat sendiri keadaannya.

Susulan kunjungan itu, YAKEB bersetuju menghubungkan kes Ahmad Sofian kepada Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN) bagi mendapatkan pembiayaan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan paramedik ke kediaman bekas penjaga gol itu dua kali seminggu bagi memantau kesihatannya sebelum urusan membawa bekas atlet itu dalam tempoh terdekat ini.

"Ahmad Sofian adalah bekas penjaga gol pasukan hoki kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Buat masa ini, kami sedang menunggu tekanan darah tingginya stabil seperti dinasihatkan doktor merawatnya.

"Jadi untuk hari ini, kita mahu memudahkan urusannya di mana YAKEB akan menguruskan paramedik seminggu dua kali (ke rumahnya) dan mempercepatkan rawatan beliau di IJN." katanya.

Sementara itu isteri Ahmad Sofian iaitu Hamizah Osman berkata, suaminya diserang strok dan ia perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum membolehkan rawatan jantung dilakukan.

"Kami sangat berbesar hati dengan kunjungan YAKEB. Pengorbanan suami untuk negara sangat dihargai. Kami tak sangka begitu ramai pihak tampil dan membantu termasuk YAKEB, MHC (Konfederasi Hoki Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), Menteri Besar Perak, perseorangan, saudara mara dan kawan-kawan.

"Banyak pihak yang membantu, moga tuhan saja yang dapat membalasnya. Boleh dikatakan bantuan sangat lancar tetapi masalah suami saya (ketika ini) diserang strok dan ia perlu diselesaikan terlebih dulu.

"Untuk jantung (bantuan), sangat lancar dan dipermudahkan tuhan. Daripada hati, saya berterima kasih banyak dengan bantuan ini," katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jun 15, 2020

Skip to toolbar