KUALA LUMPUR: Bekas jaguh angkat berat negara, Muhammad Hidayat Hamidon yang mengalami masalah jantung dan jangkitan paru-paru akan terus menjadi pemandu kenderaan e-hailing demi kelangsungan hidup.

Begitupun, buat masa ini, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 itu akan melakukan tugasan berkenaan secara separuh masa selepas disarankan pihak doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk berehat bagi menstabilkan keadaan jantungnya.

"Memang dari segi pendapatan, tidak ada lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020.

"Insya-Allah selepas baik daripada sakit nanti, mungkin ada jalan terbaik untuk saya dapatkan kerja semula. Sejak PKP, saya bawa Grab, itu pun ikut semampu saya. Sekarang ini, saya tak boleh lagi buat secara sepenuh masa, mungkin dalam tiga atau empat jam saya akan bawa. Itulah untuk membantu kehidupan saya hari-hari.

"Namun, buat sementara waktu ini, dalam sebulan ini doktor meminta saya supaya berehat untuk menstabilkan keadaan jantung saya." kata Hidayat kepada media selepas menerima kunjungan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), hari ini.

Hidayat, 46, menerima kunjungan YAKEB yang bersedia untuk membantunya daripada segi bayaran perubatan dan rawatan terbaik di HKL mahupun Institut Jantung Negara (IJN).

Minggu lalu, atlet yang diberi taraf kerakyatan itu mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke HKL dan menerusi laporan perubatan, dia didapati mempunyai masalah jantung serta paru-paru berair.

"Pada 24 Mac ini, saya mempunyai temujanji rawatan susulan bersama pakar jantung di HKL," katanya.

Hidayat yang berasal dari Medan, Indonesia meraih pingat pertamanya bersama kontinjen negara di Sukan SEA Chiang Mai 1995.

Ketika itu, Hidayat meraih pingat perak dalam kategori atas 59 kilogram (kg).

Tidak terhenti di situ, Hidayat kemudian melakukan angkatan emas di Sukan SEA Jakarta dalam kategori 64kg sebelum mengulangi kejayaan sama di pentas lebih tinggi di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian sukan angkat berat di pentas Komanwel selepas kali terakhir memenangi emas pada 1950 menerusi Tho Fook Hung dan Koh Eng Tong.

Ditanya mengenai kos perubatan keseluruhan yang perlu ditanggung, Hidayat berkata: "Doktor masih belum memberitahu jangkaan jumlah untuk rawatan lagi. Cuma doktor memberitahu saya supaya terus bersemangat seperti mana ketika saya menjadi jurulatih dan atlet. Doktor memberitahu, yang jantung saya tidak boleh dibuat lemah ataupun terlalu keras.

"Doktor juga memberitahu saya supaya tidak mengambil sebarang ubat perangsang, protein. Ini untuk membolehkan mereka melihat bagaimana keadaan jantung saya."

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya akan membantu Hidayat bagi membolehkan ahlinya itu kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Sekiranya beliau perlu dimasukkan ke IJN, kami akan bantu kerana IJN sudah bersiap sedia untuk membantu Hidayat. Kalau di HKL, kami akan cuba dapatkan (perkhidmatan) yang terbaik kepada Hidayat. Kalau kos ubat mahal atau sukar didapati di HKL, kami di YAKEB akan bantu untuk membeli ubat-ubatan berkenaan," kata Noorul.

sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By aina / Administrator, bbp_participant on Mar 23, 2021