KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) melebarkan jalinan kerjasama bersama pengamal perubatan khususnya di Johor dalam usaha memperkasakan lagi bantuan kepada ahlinya yang mengalami masalah kesihatan.

Menerusi program 'Visit & Treat' yang menjelajah selatan tanah air kelmarin, Skuad YAKEB Prihatin diketuai Ketua Panel Penasihat YAKEB, Datuk Dr Mohammed Alwi mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Pakar Sultanah Fatimah Muar, Dr Muhammad Yusof Sibert.

Sebelum itu, hasil kerjasama antara YAKEB dan Hospital Pakar Sultanah Aminah membuahkan hasil positif bagi membantu pemenang pingat emas pertama sukan angkat berat negara di Kejohanan Sukan SEAP Jakarta 1979, Samah Ali yang menghidap diabitis kronik.

Usaha ini adalah untuk membantu bekas atlet itu mendapatkan bantuan menggantikan kaki palsunya yang sudah rosak.

Ketika menziarah Samah, mereka juga sempat berkunjung ke kediaman bekas atlet silat negara yang menghidap masalah jantung, Norita Zaini sebelum menutup siri jelajah ke selatan dengan lawatan bertemu bekas atlet berbasikal, Paliau @ Abdul Sukor Sodar yang mengalami masalah jantung, semalam.

Selain itu, Skuad YAKEB Prihatin turut bertemu keluarga bekas pemain ragbi, Allahyarham Taib Abdullah di Bandar Baru Uda untuk menghulurkan sumbangan khairat kematian.

"InsyaAllah dengan usaha sebegini, kita akan dapat sampaikan sumbangan bagi pihak YAKEB," kata Mohammed Alwi yang juga Ketua Jabatan Pakar dan Kecemasan Hospital Selayang.

Sebelum ini, Skuad Prihatin YAKEB menjelajah ke bahagian utara tanah air dengan mengunjungi arkitek bola sepak negara pada era 70-an, Syed Ahmad Abu Bakar di Perlis; bekas penjaga gol hoki negara, Ahmad Sofian Ahmad Zolkifli (Ipoh) dan beberapa legenda bola sepak seperti Datuk M Karupan, Datuk Shukor Salleh, Datuk Mohd Bakar.

"Ini kesinambungan tugas yang kita lakukan baru-baru ini pada Mei dan Jun. (Pada waktu itu) kita ke utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk mengunjungi bekas atlet seperti pemain bola sepak Olimpik kita," katanya.

 

 

Sumber daripada: Berita Harian Online

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Dec 18, 2020