KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meminta bekas atlet untuk memanfaatkan peluang dengan mengikuti kursus kemahiran yang disediakan bagi menjana pendapatan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata langkah itu mampu membantu mereka untuk membuka pelbagai jenis perniagaan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Saya galakkan mereka ambil peluang apabila YAKEB mengadakan kursus kemahiran. Dengan ilmu yang diperoleh daripada kursus itu, mereka boleh buat pelbagai jenis perniagaan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Noorul turut mengulas mengenai kontroversi yang melanda bekas pesilat wanita negara, Azlinda Ahmad yang didakwa terpaksa menjual pingat yang dimenanginya kepada kedai barangan terpakai atau bundle bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, YAKEB mengambil maklum mengenai perkara itu dan menjelaskan pihaknya sememangnya menghulurkan bantuan kepada Azlinda sebelum ini.

Bagaimanapun, Azlinda semalam tampil menafikan dakwaan itu apabila menegaskan bukan dia yang menjualnya tetapi tidak menolak kemungkinan pingat berkenaan sudah jatuh ke tangan orang lain.

“Sebenarnya, sejak dari Mac lagi kita sudah bantu ramai bekas atlet termasuklah Azlinda. Azlinda mula menjadi ahli YAKEB pada 2013.

“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita menyalurkan bantuan sebanyak RM500 selain sumbangan Hari Raya sebanyak RM500 daripada Biotropics Malaysia, sumbangan Hari Raya sebanyak RM300 daripada YAKEB dan sumbangan PPZ Wilayah Persekutuan sebanyak RM500,” katanya.

Sebuah akhbar kelmarin melaporkan Azlinda terpaksa menjual barang kesayangannya iaitu pingat emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hat Yai, gangsa Sukan Sea Chiang Mai Thailand 1995 serta baju silat Malaysia kepada satu kedai barangan terpakai bundle di Kuala Lumpur dengan harga semurah RM100 lebih.

 

Sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By / on Nov 13, 2020