KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menggerakkan satu inisiatif baharu dengan membantu bekas atlet yang mewakili negara dalam kejohanan Sukan Orang Pekak dan berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).

Menerusi kerjasama dengan MSDeaf ini, ia dapat membantu membuka peluang kepada ahli persatuan berkenaan untuk turut sama mengikuti program atau kursus dianjurkan YAKEB menerusi Inisiatif Kerjaya dan Pendidikan Berterusan.

Ini secara tidak langsung membolehkan YAKEB membantu MSDeaf bersama-sama mengikuti program bersama rakan strategiknya iaitu DHS Hospitality Academy yang juga rakan kongsi pintar Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaysia (UMCCed) yang menawarkan program dalam pelbagai bidang berkaitan dengan industri hospitaliti.

Program DHS adalah pembelajaran berasaskan kerja yang memberi peluang kepada individu untuk merasai sendiri pengalaman dalam industri semasa mereka menjalani program latihan ditawarkan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, buat masa ini seramai 20 peserta masing-masing 10 daripada YAKEB dan MSDeaf akan dipilih untuk menerima biasiswa bagi mengikuti program pengajian.

“Biasiswa ini diberi kepada dua bahagian, satu untuk MSDeaf membabitkan seramai 10 peserta dan 10 daripada YAKEB,” kata Noorul dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara YAKEB dan MSDeaf di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, di sini, semalam.

“Apa yang MSDeaf dapat adalah mereka akan mengikuti pengajian selama enam bulan secara praktikal dan enam bulan lagi menerusi pengajian di Singapura ataupun Malaysia dan ini berdasarkan kehendak mereka.

“Kerja sudah terjamin di bahagian penjagaan kesihatan seperti spa dan mereka boleh bekerja atau pun menjadi usahawan. Semua pembiayaan ini ditanggung oleh DHS dan sijil daripada Universiti Malaya dan sijil diploma daripada Singapura.

“Biasiswa ini bernilai RM18,000 setiap seorang. Jadi MSDeaf menerima RM180,000 manakala YAKEB juga RM180,000 untuk 10 orang.”

 

Sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By / on Nov 19, 2020