KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) mengadakan kunjungan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini untuk menjalin usaha sama program Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-YAKEB.

Pada pertemuan itu, PPZ mengambil peluang untuk memperkenalkan sistem pembayaran zakat secara dalam talian khas untuk komuniti sukan.

"Ia sebagai galakan bagi pembayaran zakat di antara komuniti sukan agar satu persekitaran ekosistem dapat dibina di mana wang zakat yang dibayar akan disalurkan kembali kepada ahli sukan yang memerlukan di bawah YAKEB.

"Sumbangan yang diberikan pihak PPZ juga memberi gambaran menyeluruh bahawa institusi zakat sentiasa proaktif dan cakna dalam membantu masyarakat daripada pelbagai kategori termasuklah warga komuniti sukan," kata kenyataan dikeluarkan YAKEB.

Pertemuan dengan Reezal dihadiri Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Nor Mukshar Harun.

Bekas atlet olahraga negara, Datuk Zaiton Othman hadir sebagai bekas atlet pertama menggunakan sistem bayaran atas talian yang baharu diperkenalkan.

Dalam pada itu, YAKEB memaklumkan program itu adalah inisiatif terbaru dalam usaha YAKEB membantu bekas atlet negara dengan kerjasama rakan strategiknya.

Sementara itu, PPZ sebagaimana organisasi lain yang turut prihatin terhadap nasib bekas atlet negara, tampil untuk menyahut seruan pihak YAKEB.

"PPZ melalui beberapa produk perkhidmatannya memperuntukkan dana sebanyak RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan YAKEB.

"Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk; bantuan tunai - Khaira PPZ dan Khaira Prihatian PPZ. Bantuan barangan asas – Bakul Rezeki Khaira PPZ. Bantuan-bantuan ini diagihkan kepada 161 orang yang memerlukan.

"Selain daripada menyediakan dana untuk sumbangan bantuan, pihak PPZ juga menyediakan kaedah khas untuk komuniti sukan terutamanya yang beragama Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka di dalam membayar zakat," katanya.

 

Sumber daripada : Berita Harian Online 

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Dec 07, 2020