Kunjungan Skuad YAKEB Prihatin ke Kediaman Bekas Atlet Tinju Negara di Skudai, Johor.

5 Disember 2015. Skudai, Johor — Skuad YAKEB Prihatin telah melaksanakan satu kunjungan kebajikan ke kediaman bekas atlet tinju negara, Dzulkarnain Abdullah @ Mohamed, yang menetap di Bandar Baru Kangkar, Skudai. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program “Visit & Treat” yang diterajui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dalam usaha memastikan kebajikan bekas atlet terus dipelihara.

Misi kunjungan tersebut telah diwakili oleh dua bekas pemain bola sepak negara, Mohamad Salleh Mohd Noor dan Mohd Nasir Yusuf @ “The Professor”, yang hadir bagi pihak YAKEB untuk menzahirkan sokongan moral serta mendapatkan perkembangan terkini keadaan kesihatan Dzulkarnain.

Dzulkarnain dilaporkan mengalami masalah slip disc yang menjejaskan pergerakan hariannya dan menyukarkan beliau untuk berjalan seperti biasa. Berdasarkan keperluan semasa, YAKEB telah menyerahkan sumbangan sebuah kerusi roda melalui Skim Bantuan Khas YAKEB bagi membantu memudahkan pergerakan beliau dan meningkatkan kualiti hidupnya.

Untuk rekod, Dzulkarnain merupakan bekas atlet yang pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dan telah menyumbangkan pingat gangsa untuk negara dalam acara tinju.

YAKEB terus komited melaksanakan inisiatif proaktif melalui pelbagai skim bantuan dan program kebajikan bagi memastikan kebajikan ahli sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan atau cabaran pasca kerjaya sukan.