Kuala Lumpur: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini sangat istimewa buat 20 bekas atlet para negara apabila menerima 'angpau' sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) hari ini menyaksikan BIMB dengan bermurah hati menyerahkan barangan berbentuk keperluan dapur serta angpau kepada enam bekas atlet para, manakala selebihnya akan disalurkan kemudian.

Enam bekas atlet para iaitu Chan Mai Lan (catur para), Muhammad Koh, Cheok Kon Fatt (powerlifting), Ng Boon Hee, Wong Lai Sum (tenis kerusi roda) dan Pua Ghin Chu (ping pong para) hadir pada majlis berkenaan.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat BIMB, Rohazida Mohamed berkata, program itu adalah permulaan buat mereka untuk terus menghulurkan sumbangan kepada pihak memerlukan bersama Yakeb dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain.

"Kita ada peluang (untuk bekerjasama dengan Yakeb). Banyak perayaan di Malaysia ini jadi peluang untuk bersama Yakeb dan NGO yang lain akan kami usahakan dan rancang. Ini bukan kali terakhir bagi kami," kata Rohazida ketika ditemui selepas majlis itu.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka ruang kepada program lain bagi membantu golongan seperti bekas atlet yang ingin permulaan perniagaan.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata mereka akan berkunjung ke rumah baki 14 lagi bekas atlet para negara untuk menyalurkan sumbangan.

"Kami bersedia untuk menjalinkan hubungan lebih erat bersama BIMB dalam membantu ahli Yakeb. Kalau ada yang ingin dapatkan pinjaman untuk perniagaan kecil-kecilan, mereka boleh bantu dengan berlandaskan terma dan syarat. Ada peluang untuk mereka (ahli) dapatkan pinjaman dan bantuan zakat. Kita akan ceburinya untuk membantu bekas atlet," kata Noorul.

 

SUMBER: 20 bekas atlet para dapat angpau (hmetro.com.my)

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Feb 08, 2022

GIVE A REPLY