KUALA LUMPUR: Seramai 28 bekas atlet termasuk atlet para menyertai Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 yang dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sejak Isnin lalu.

Kursus selama lima hari itu bakal menyediakan sijil asas kepada peserta untuk melebarkan langkah ke dunia kejurulatihan selepas bergelar atlet.

Sejak hari pertama dianjurkan di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, peserta turut menerima kunjungan daripada beberapa bekas atlet terkemuka seperti legenda sukan olahraga negara, Datuk Marina Chin dan pengarah kejurulatihan Kesatuan Ragbi Malaysia yang juga bekas pemain ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah.

"Ruang dan peluang untuk menambah ilmu sentiasa diberikan kepada atlet mahupun bekas atlet," kata Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf kepada BH Sukan, hari ini.

"Namun ia terpulang kepada diri mereka sendiri untuk tampil merebut peluang itu dan menjadikan ia sebagai sesuatu yang boleh dimanfaatkan dalam membentuk kerjaya masing-masing yang pada akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada mereka."

Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 untuk bekas atlet ini adalah salah satu antara beberapa program khas di bawah Inisiatif Kerjaya dan Pendidikan Berterusan oleh YAKEB.

Kursus ini dilaksanakan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha untuk membantu bekas atlet melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan terkini khasnya dalam bidang sains sukan.

Sijil sains sukan ini penting dalam proses transformasi atlet kepada jurulatih bukan saja pada ilmunya tetapi menjadi tuntutan atau salah satu pra syarat yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi jurulatih bertauliah.

 

Sumber daripada Berita Harian

 

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jan 26, 2022