KUALA LUMPUR : Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) mengotakan janji untuk bertindak pantas dalam membantu ahlinya yang berdepan kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19 apabila menyalurkan bantuan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan.
Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata seramai 35 bekas atlet termasuk 7 atlet para sudah mendapat bantuan RM500 setiap seorang yang didebitkan terus ke akaun masing-masing sejak Khamis lalu.
Menurutnya, matlamat utama bantuan ini untuk meringankan beban ahli yang terkesan akibat PKP terutamanya kepada mereka yang hilang punca pendapatan seperti peniaga kecil-kecilan, food truck, pemandu teksi dan membuka kelas latihan.
“Ini adalah fasa pertama dan fasa kedua seramai 50 bekas atlet pula akan mendapat bantuan masing-masing minggu depan.
“Kita memberi wang tunai kerana ahli lebih tahu apa keperluan yang diperlukan untuk mereka dan ahli keluarga masing-masing ketika masa sukar seperti ini.
“Saya juga meminta ahli yang berdepan masalah supaya menghubungi pejabat atau terus mengisi borang di laman web YAKEB,” katanya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pemberian peruntukan RM100,000 menerusi Tujuh Inisiatif Proaktif KBS kepada YAKEB.
Peruntukan berkenaan disalurkan dalam usaha membantu dan menyokong bekas atlet yang memerlukan sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan bermula 18 Mac hingga 14 April ini.
Sementara itu, bekas pesilat negara, Zainuddin Mohd Nawi yang berniaga gula melaka secara kecil-kecilan di Kota Bharu bersyukur dengan bantuan yang diterimanya.
“Akibat PKP saya tidak dapat berniaga dan bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan saya sekeluarga.
“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Datuk Seri Reezal kerana mengingati jasa-jasa bekas atlet,” katanya.
Bekas pemain sepak takraw negara, Muhamad Kamal Ishak yang berniaga kecil-kecilan jus buah-buahan di Seri Kembangan, Selangor turut mengakui terkesan akibat PKP.
“Alhamdulillah dengan bantuan yang diberikan dapat membantu saya sekeluarga. Terima kasih kepada kerajaan, Datuk Seri Reezal dan YAKEB sebagai agensi pelaksana kerana menolong kami,” katanya.
Saya amat perlu bantuan kewangan dalam tempoh virus covid 19. Kerana terjejas pendapatan keluarga saya. Kalau nak harap pada gaji yang saya ada. Memang tak cukup duduk di tempat elit ini. Kos amat besar. Utama pada oku dan keluarga oku. Sy harap pihak tuan dapat membantu keluarga sy dan amat dihargai. Terima kasih