Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam YAKEB Prihatin.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mempengerusikan barisan Ahli  Lembaga Pemegang Amanah YAKEB bagi sesi 2025 – 2027.

Beberapa amanat penting telah disampaikan oleh YB. Menteri; antaranya ialah harapan agar YAKEB benar-benar memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan. YB. Menteri juga mahu ahli lembaga yang telah dilantik menggunakan kekuatan, kepakaran dan jaringan masing-masing untuk memberi nilai tambah kepada yayasan.

  1. Menteri turut menekankan bahawa tidak seharusnya berlaku pertindihan peranan antara YAKEB dan entiti lain. Sebaliknya, harus saling melengkapi, bukan bersaing. Beliau turut mahu melihat budaya baharu diwujudkan – iaitu atlet semasa atau bekas atlet menyumbang semula kepada bekas atlet veteran yang memerlukan, dan ruang-ruang perniagaan di KBS serta agensinya diberikan keutamaan kepada ahli YAKEB.

Sehubungan dengan itu, dalam menyahut semua amanat dan peluang yang diberi, saya ingin mengangkat hala tuju baru YAKEB iaitu:

“YAKEB Prihatin: Membangun Kebajikan, Menyemarak Keprihatinan.”

Hala tuju ini bukan sekadar slogan, tetapi merupakan prinsip panduan dalam perancangan strategiknya. Ia berasaskan lima teras utama:

Pertama, memperkemas mekanisme bantuan sedia ada. Kita akan pastikan segala bentuk bantuan – sama ada perubatan, sara diri, khairat kematian, atau lain-lain – disalurkan dengan lebih sistematik, telus dan menyeluruh. Bantuan mesti sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, tanpa diskriminasi dan tanpa kelewatan yang tidak wajar.

Kedua, memperluas pendekatan bantuan, ahli YAKEB tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan kerajaan. Kita akan mempelbagaikan pendekatan. Antaranya, melalui bimbingan kerjaya, latihan kemahiran, pemerkasaan keusahawanan dan sokongan psikososial – agar bekas atlet dapat membina semula kehidupan yang stabil dan bermakna selepas persaraan.

Ketiga, menggalakkan penyertaan aktif ahli YAKEB, kita ingin melihat penglibatan yang lebih meluas dalam kalangan ahli YAKEB sendiri. YAKEB mesti mula digerakkan dari bawah ke atas. Kita mahu lebih banyak suara bekas atlet didengari – bukan sekadar di pusat, tetapi juga di peringkat negeri dan akar umbi. Mereka harus dilibatkan dalam kepimpinan, program dan hala tuju yayasan, agar YAKEB menjadi milik semua bekas atlet, bukan hanya segelintir.

Keempat, menjana sumber kewangan mampan, untuk memastikan kelangsungan organisasi, YAKEB akan berusaha membangunkan sumber kewangan yang lebih mampan. Kita akan pertingkatkan usaha menjalin kerjasama strategik dengan sektor swasta dan membina jaringan penajaan korporat, agar kita dapat mewujudkan dana jangka panjang untuk manfaat bekas atlet. 

Kelima, memperhebat kempen kesedaran dan pendaftaran, kita akan memperluaskan kempen kesedaran mengenai kepentingan menyertai YAKEB. Masih ramai bekas atlet yang belum mendaftar sebagai ahli. Kita akan memperhebatkan program turun padang, serta mengukuhkan platform digital YAKEB agar maklumat lebih mudah diakses, sekaligus mendekatkan mereka kepada segala bentuk bantuan yang ditawarkan.

Akhirnya, saya ingin menyatakan secara jelas bahawa visi kita ialah untuk membina ekosistem YAKEB yang lebih tersusun, kukuh dan terbuka – dengan penglibatan pelbagai pihak, agar kebajikan bekas atlet menjadi satu usaha nasional, bukan hanya ditanggung oleh YAKEB seorang diri.

Bekas atlet negara bukan sekadar wira silam. Mereka adalah aset berharga negara yang masih mampu menyumbang – sebagai jurulatih, mentor, tenaga pakar, mahupun ahli perniagaan yang berjaya. YAKEB harus menjadi institusi yang mengangkat martabat mereka, dan memastikan mereka terus hidup dengan bermaruah, sejahtera, dan dihargai.

Sekian. Terima kasih.