KUALA LUMPUR: Bapa bekas pemain ragbi remaja kebangsaan, Baharuddin Mohamed berterima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang membantu meringankan beban anaknya, Izzat Hazziq bagi mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Baharuddin mengakui bantuan YAKEB ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos fisioterapi yang perlu ditanggung keluarganya selain turut mengharapkan proses pemulihan anaknya yang lebih mesra disapa Kumin yang berusia 27 tahun itu berjalan lancar.

"Saya sebagai ayah terharu dengan pertolongan diberikan banyak pihak terutama YAKEB, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Datuk Ahmad Shapawi Ismail), ISN (Institut Sukan Negara), UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan Datuk Mohd Alwi (Ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Panel Penasihat Kesihatan YAKEB) yang turut sama membantu kami sekeluarga untuk membantu anak saya ini.

"Bantuan diberikan YAKEB sangat diperlukan terutama daripada segi rawatannya kerana dia memerlukan rawatan fisioterapi secara berterusan," kata Baharuddin, 53, kepada media selepas aktiviti 'Visit & Treat' YAKEB di Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

"Kalau tak ada YAKEB membantu, saya rasa agak sukar sedikit kerana kos rawatan pun agak tinggi selain proses pemulihan itu mungkin mengambil masa lebih panjang. Dengan adanya bantuan seperti ini, saya rasa akan lebih cepat dan mudah, bukan saja untuk anak saya tetapi juga semua atlet (yang memerlukan bantuan)."

Pada 2016, Izzat yang juga anak sulung daripada tiga beradik terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari UiTM Shah Alam, Selangor ke rumah mereka di Senawang, Negeri Sembilan. Kemalangan itu menyebabkan Izzat mengalami kecederaan parah di kepala yang menyebabkan kesukaran untuknya berkomunikasi dan juga bergerak.

"Dulu (keadaan) dia agak serius, menjelang nak masuk lima tahun ini banyak perubahan daripada segi percakapan, memori dan pergerakan di bahagian kaki dan tangannya juga ada menunjukkan peningkatan.

"Untuk kes seperti ini, ia memerlukan rawatan berterusan. Kalau dia dapat dimasukkan ke sini, saya rasa proses pemulihan itu akan berlaku dengan lebih cepat dan akan ada lebih banyak perubahan," kata Baharuddin.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata: "Hari ini, kita bawa Kumin ke hospital, kita akan buat penilaian dan kemungkinan besar dia akan dimasukkan ke hospital dan buat rawatan susulan.

"Kami di YAKEB akan cuba mempercepatkan proses dan kita akan beri perhatian dan keyakinan kepadanya supaya dia boleh pulih dengan secepat mungkin. Mungkin bukan 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya boleh menguruskan dirinya," tambahnya.

Sumber daripada : Berita Harian Online

About the Author

By aina / Administrator, bbp_participant on Mar 22, 2021

Skip to toolbar