Gambar fail - Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Gambar fail - Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang menyatakan tiada bantuan disalurkan kepada bekas atlet renang para negara yang juga Olahragawati Paralimpik 2016, Koh Lee Peng sama sekali tidak tepat.

Berdasarkan rekod Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Lee Peng sudah menerima pelbagai sumbangan sejak 2019 termasuk tawaran menyertai Kursus Kemahiran & Keusahawanan anjuran bersama Yayasan Hasanah.

Sejak tiga tahun lalu, ahli YAKEB itu sudah berada 'dalam radar' Skuad Prihatin YAKEB dengan sumbangan terbesar adalah ketika menerima RM5,000 daripada Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Oktober 2019.

Malah YAKEB sendiri pernah turun padang ke Pulau Pinang bagi menyalurkan bantuan memperbaiki kerusi rodanya pada tahun sama sebelum turut memberi sumbangan berbentuk wang tunai bagi meringankan beban bekas atlet berusia 48 tahun itu ketika negara dihimpit pandemik COVID-19 pada 2020.

 

YAKEB juga pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang pada tahun lalu bagi mencari penyelesaian buat Lee Peng memperoleh tapak perniagaan tetap di sana selain menawarkan kursus kemahiran untuknya mempelajari selok belok perniagaan.

"Pada ketika YAKEB menganjurkan kursus kemahiran (tahun lalu), kita juga memanggil dia untuk mengikutinya namun dia tidak mengambil peluang berkenaan.

"Pada 24 Januari ini, kita juga sekali lagi menawarkan Kursus Kejurulatihan-Sains Sukan Tahap 1 tetapi itu terpulang kepadanya untuk mengikutinya ataupun tidak.

"Kursus kemahiran (perniagaan) yang kita anjurkan sebelum ini turut menyalurkan banyak peralatan untuk peserta memulakan perniagaan, jadi YAKEB berharap mana-mana atlet sekali pun mengambil peluang ini.

"Kalau tidak ada daya usaha daripada mereka sendiri, sukar juga untuk YAKEB membantu. Kita sudah memberi banyak peluang namun kalau peluang itu tidak diambil maka (masyarakat) janganlah salahkan kementerian, YAKEB kerana kita sudah berusaha.

"Apapun, ia berbalik kepada diri atlet itu sendiri, sama ada mereka mahu merebut peluang berkenaan ataupun sebaliknya," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi.

Baru-baru ini, dunia maya kecoh dengan kisah Lee Peng yang kembali tular apabila seorang pengguna laman sosial Twitter memuatnaik rentetan pertemuannya dengan bekas Olahragawati Paralimpik 2016 itu sedang menjual barangan kecil-kecilan seperti tisu dan pelitup muka di Bukit Bintang.

Susulan itu, pelbagai andaian dilakukan netizen antaranya mempersoalkan peranan badan berwajib bagi membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan negara dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi di temasya Sukan Para ASEAN dari 2001 hingga 2005 itu.

"Tidak adil untuk katakan kerajaan tidak membantu. Bagi saya itu tidak adil kerana semua (bekas atlet termasuk para) diberikan peluang.

"Mereka harus bijak menguruskan kewangan, pekerjaan dan sebagainya. Sewaktu kita menganjurkan kursus, tujuh atau lapan bekas atlet para menyertainya dan sekarang mereka sudah mampu menjana pendapatan.

"Seperti saya katakan, YAKEB daripada tahun lalu lagi sudah memberikan peluang untuk dia membuat perniagaan (dengan menyertai kursus ditawarkan) tetapi dia sendiri tak mengambil peluang itu dan kita tak boleh melakukan apa-apa," kata Noorul.

 

Info

Antara bantuan yang disumbangkan kepada Koh Lee Peng sejak 2019

2019 - Skuad Prihatin menyalurkan sumbangan RM500

Sumbangan daripada Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yasin (RM5,000)

Membaiki kerusi roda

2020 - Bantuan sumbangan COVID-19 (RM500)

2021 - Bantuan membaiki motosikal (RM500)

 

SUMBER: BERITA HARIAN (Dakwaan Lee Peng terpinggir tak tepat (bharian.com.my))

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jan 16, 2022

GIVE A REPLY