Kebajikan & Kesejahteraan – Visit & Treat : Sentuhan Prihatin YB Menteri Belia dan Sukan Bersama Lagenda Sukan Negara di Ipoh.

28 Januari 2026, Ipoh, Perak – Pada hari yang penuh makna ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah melaksanakan program “Visit & Treat – YAKEB Prihatin” di Ipoh, Perak. Lawatan ini diketuai oleh Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj. Ahmad Shapawi Ismail, dan disertai oleh kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk YB Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Puan Azura binti Karim. Kehadiran mereka menekankan komitmen berterusan KBS dan YAKEB dalam menjaga kebajikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara.

Lawatan kali ini berlangsung di kediaman Masmudin Rabien, bekas atlet olahraga dari Perak, di Lebuh Rapat Baru, Ipoh. Dalam sesi yang penuh mesra ini, YB Menteri Belia dan Sukan telah menyempurnakan penyampaian sumbangan bagi pihak YAKEB bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada dua lagenda sukan negara:

  • Ng Fook Huat, 85 tahun, bekas atlet wushu yang mewakili Malaysia di Sukan Asia 1990, Beijing, dan
  • Cheah Tong Kim, 81 tahun, bekas atlet renang yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 1964.

Selain itu, YB Menteri turut menyempurnakan penyampaian bantuan pembiayaan rawatan perubatan kepada Masmudin Rabien, 62 tahun, bekas atlet olahraga yang kini menjalani rawatan dialisis dan jantung. Kehadiran YB Menteri dan kepimpinan KBS bukan sahaja memberikan sokongan moral kepada bekas atlet, tetapi juga menekankan kepedulian berterusan YAKEB dalam memastikan kesejahteraan mereka terjaga.

Turut hadir dalam pertemuan ini adalah tokoh-tokoh sukan negara yang juga merupakan sahabat dan rakan seperjuangan para bekas atlet, termasuk Datuk M. Karathu, mantan ketua jurulatih bola sepak negara; Ahmad Fadzil, bekas penjaga gol hoki kebangsaan; dan Raja Ikram Raja Omar, bekas pemain ragbi kebangsaan. Kehadiran mereka menambah nilai sosial dan memperkukuh semangat komuniti sukan negara dalam menghargai jasa dan sumbangan bekas atlet.

YAKEB amat berbesar hati atas kesudian YB Menteri Belia dan Sukan serta kepimpinan KBS menziarahi dan menyantuni bekas atlet negara. Lawatan ini bukan sahaja memberi penghargaan secara simbolik kepada para atlet yang telah berjasa, tetapi juga menjadi dorongan untuk meneruskan lebih banyak inisiatif kebajikan, lawatan, dan program keprihatinan bersama bekas atlet di seluruh negara.

Dengan usaha berterusan ini, YAKEB berharap setiap bekas atlet, tanpa mengira usia atau latar belakang, dapat merasakan penghargaan negara terhadap sumbangan mereka dalam arena sukan, sekaligus mengekalkan hubungan erat antara komuniti sukan negara dan kepimpinan KBS.