KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) - Program Bingkisan Aidilfitri sasar bantu seramai 650 bekas atlet kebangsaan yang memerlukan, sebagai antara langkah menghargai jasa mereka yang banyak mengharumkan nama negara sebelum ini.

Dianjur Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebanyak RM65,000 diperuntukkan untuk program berkenaan yang akan diterjemah dalam bentuk bantuan wang tunai dan biskut raya.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, bantuan itu akan diagih melalui dua sesi dengan sesi pertama melibatkan 150 penerima di Kuala Lumpur, manakala sesi kedua bagi penerima yang berada di luar Kuala Lumpur.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Bingkisan Aidilfitri Kepada Bekas Atlet Kebangsaan di sini, hari ini beliau berkata inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang bertindak sebagai pengelola bagi mengumpulkan bekas atlet kebangsaan yang memerlukan.

dalam pada itu, antara penerima bantuan bekas pemain boling padang negara, Halimah Hassan, 60, bersyukur apabila dirinya masih diingati dan dihargai walaupun telah bersara.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat. Walaupun sudah bersara jadi atlet, masih lagi dihargai dan terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang menyumbang," katanya yang telah bersara pada tahun 2014 kepada pemberita.

Sementara itu, bekas atlet memanah negara Siti Aisah Sudin, 56, pula menyeru bekas atlet yang belum menyertai YAKEB untuk berbuat demikian supaya soal kebajikan mereka terjaga selain tidak terlepas daripada pelbagai aktiviti yang direncana yayasan berkenaan.

 

Sumber daripada Bernama

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Apr 18, 2022

GIVE A REPLY