KUALA LUMPUR: Selepas Program YAKEB Turun Padang 2.0 mendapat sambutan menggalakkan di Pantai Timur minggu lalu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bakal menjengah selatan tanah air pada 25 Jun ini bagi merapatkan lagi ukhwah bersama bekas atlet.
Program yang membabitkan pelbagai aktiviti membina seperti pemeriksaan kesihatan, taklimat peluang kerjaya, soal jawab bersama pihak pengurusan yayasan sememangnya dinantikan bekas atlet apatah lagi ia mengeratkan lagi hubungan sesama atlet yang sudah ‘terpisah jauh’.
Bagi bekas ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, dia mengharapkan program seumpama ini dapat diteruskan bagi membantu bekas atlet terutama yang kurang bernasib baik kembali menemui ‘jalan’ bagi meneruskan kehidupan mereka.
“Satu program yang pada saya sangat bermakna buat bekas atlet,” kata Roslinda yang mewakili bekas atlet dari Pahang pada program berkenaan yang berlangsung di Batu Buruk Beach Resort, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
“Seperti saya, alhamdulillah. Namun setiap orang itu jalan hidupnya berbeza. Nak kata saya tak merasai kesusahan orang lain itu tak mungkinlah sebab saya pun bukan daripada orang berada. Seperti saya katakan, masing-masing punyai kehidupan berbeza.
“Dengan program ini, terutama selepas pandemik COVID-19 ini, dapat membantu atlet yang mengalami kesusahan, kepayahan untuk meneruskan hidup mereka selepas berhempas pulas mewakili sukan diceburi.
“Saya harap YAKEB teruskan program ini setiap tahun untuk menjejak atlet lama kita. Saya seronok kerana dapat berjumpa senior dan yang tidak pernah saya kenal sebelum ini. Dengan program ini, ia dapat merapatkan kembali hubungan.”
Program di Pantai Timur yang membabitkan tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan – disertai 150 bekas atlet dan ahli keluarga ini turut disertai rakan strategik YAKEB iaitu Go Coach, Ceragem dan National Cancer Society of Malaysia.
Program YAKEB Turun Padang ini mempunyai objektif untuk menjadi platform terbaik untuk bekas atlet bertemu pihak yayasan selain menjadi saluran buat mereka menyuarakan masalah dihadapi. (sumber dari berita harian)